Google One ialah perkhidmatan langganan storan awanan berbayar yang hadir dengan sejumlah perkhidmatan tambahan yang lain juga, dimana salah satu daripadanya ialah perkhidmatan Virtual Private Network, ataupun VPN yang mengaburkan butiran pelayaran anda melalui mana-mana rangkaian internet.
Terkini, Google mengumumkan bahawa Google One kini hadir dengan sebuah ciri baru dimana pengguna boleh memilih untuk tidak menyambung ke internet sekiranya VPN terbina menghadapi isu terpotong ataupun terbengkalai.

Menurut 9To5 Google, ciri ini boleh diakses melalui aplikasi Google One versi 1.92, dimana fungsi memotong rangkaian internet sekiranya sambungan VPN gagal boleh diakses melalui menu tetapan aplikasi tersebut.
Ini bermakna bahawa sekiranya sambungan ke perkhidmatan VPN gagal untuk apa-apa sebab, peranti pintar dengan langganan Google One ini tidak akan disambungkan kepada internet. Menariknya, fungsi ini hanyalah untuk para pelanggan Google One, dan tidak diperlihatkan pada peranti Android yang lain.
Fungsi ini diperkenalkan khusus untuk pengguna yang benar-benar paranoid mengenai keselamatan privasi pelayaran mereka dan tidak mahu sebarang maklumat tersebut tertiris ke pihak-pihak seperti pembekal internet.
Bagi mereka yang melanggan perkhidmatan storan awanan Google One 2TB, anda boleh mengemaskini aplikasi tersebut hari ini, dan mencuba fungsi terbaru ini.