Pada awalnya untuk memudahkan transisi dari kereta konvensional ke kereta elektrik, kereta hibrid (PHEV) ditawarkan oleh pengeluar. Tetapi dengan teknologi bateri dan motor elektrik semakin baik, kereta PHEV mula digantikan dengan kereta elektrik kuas bateri sepenuhnya (BEV). Toyota hari ini memperlihatkan rekaan bZ4X Concept, BEV pertama mereka sempena Pameran Kereta Shanghai yang akan berlangsung minggu ini.

Toyota bZ4X Concept ialah SUV BEV yang pertama dari 15 yang akan dilancarkan mereka menjelang 2025. Nama yang digunakan adalah agak aneh tetapi bZ di sini adalah untuk Beyond Zero menandakan komitmen mereka untuk sifar pelepasan karbon.

Ia menggunakan platform e-TNGA pemanduan semua tayar yang dibangunkan secara kerjasama dengan Subaru. Ia mempunyai wheelbase yang panjang sekaligus menawarkan ruang kabin yang besar setanding dengan kenderaan segmen-D. Ciri menarik lagi kenderaan siri bZ ialah stereng yang kelihatan seperti alat kawalan pesawat angkasa lepas yang futuristik. Ia tidak bersambung terus kepada tayar hadapan sebaliknya bergantung kepada sistem steer by wire.

Skrin besar pada bahagian tengah digunakan untuk sistem infohibur dan kawalan kokpit dengan satu lagi skrin lebih kecil memaparkan maklumat pemanduan. Keseluruhan papan pemuka kenderaan direndahkan bagi memberikan pemandangan yang lebih meluas ketika memandu dan juga lebih selesa. Di Pameran Kereta Shanghai konsep ini akan diperlihatkan kepada umum secara rasmi dengan model produksi sebenar menyasarkan jualan pada pertengahan 2022.