Fitbit Luxe kini dilancarkan secara rasmi. Ia adalah penjejak kesihatan terbaru daripada Fitbit yang direka dengan binaan premium dan juga menyasarkan pengguna yang mementingkan gaya/fesyen. Fitbit turut bekerjasama dengan Gorjana, iaitu satu jenama barang kemas untuk menghasilkan produk ini. Pilihan tali jam untuk penjejak kesihatan ini, semuanya mewah, premium dan unik. Menurut Fitbit, Luxe juga merupakan peranti boleh pakai untuk mereka pentingkan kesihatan holistik.
Fitbit Luxe hadir dengan skrin AMOLED berwarna, menyokong pemantauan tekanan, tidur, mengesan suhu kulit, mengimbas nadi 24/7, serta membaca data SpO2. Melalui papan pemuka Health Metrics, semua data ini boleh dipantau dan memudahkan pengguna faham mengenai kesihatan dan kecergasan diri. Selain itu, Fitbit turut boleh memberi panduan yang sesuai dengan diri pengguna berasaskan data yang dikumpul.

Disebabkan ini adalah produk premium, Fitbit turut menyasarkan pengguna yang akan melanggan Fitbit Premium. Setiap pembelian Luxe turut menawarkan enam bulan langganan percuma yang menyertakan 200 meditasi Mindfulness, nasihat daripada pakar, pemantauan makanan lebih mendalam dan banyak lagi.

Jika tidak melanggan Fitbit Premium, fungsi seperti penjejakan aktiviti sukan atau senaman turut disertakan dengan 20 pilihan. Untuk binaan, Luxe dibina dengan kerangka keluli tahan karat dengan proses binaan yang membolehkan semua sensor membaca data yang sepatutnya. Ia juga hadir dengan perlindungan air 50m. Sokongan paparan notifikasi, jam, penggera, semuanya disokong. Aplikasi turut disokong peranti iOS dan Android, yang mana untuk Android – Fitbit Luxe boleh ditambat dengan Google Fast Pair.

Antara tali jam yang ditawarkan adalah gelang keluli emas, silikon, Horween, kulit wrap, woven, jejaring keluli dan banyak lagi. Harga tali jam sahaja bermula daripada $29.95 (~RM123.50) untuk yang silikon dan mencapai sehingga $99.95 (~RM412) untuk tali jam keluli yang dihasilkan Gorjana.
Harga jualan Luxe adalah $149.95, iaitu sekitar RM618. Untuk versi yang datang sekali dengan tali jam Gorjana, ia dijual pada harga $299.95 (~RM1237). Ketika artikel ini ditulis, masih tidak pasti jika ia akan ditawarkan di Malaysia serta harga jualannya. Apa-apa pun, adakah ini penjejak kesihatan premium yang anda akan beli?