Redmi sedia berkongsi perancangan untuk hadir dengan penawaran peranti gaming sekitar penghujung bulan ini. Tarikh khusus pelancarannya menjadi tanda tanya sehinggalah hari ini mereka berkongsinya menerusi laman Weibo.
Memetik poster dikongsi, ia memperlihatkan acara pelancaran untuk peranti ini dijadualkan berlangsung pada 27 April hadapan. Dikenali sebagai Redmi K40 Game Enhanced, jenama ini turut mengiklankannya sebagai peranti gaming yang nipis dan ringan.

Turut kelihatan, ia akan mempuyai sistem tri-kamera dengan rekaan modul yang mirip seperti siri Redmi K40. Namun apa yang membuatkannya menjadi lebih menarik adalah terdapat sokongan lampu pada sekeliling modul kameranya. Lampu ini boleh dinyalakan menggunakan butang fizikal yang terdapat pada sisi peranti.
Menurut spekulasi tersebar, peranti ini dijangka menggunakan cip MediaTek Dimensity 1200, pengecasan pantas 67W, skrin AMOLED E4 144Hz dan kuad-kamera dengan sensor utama 64-Megapixel. Peranti ini juga disasarkan bakal dijual pada harga sekitar RMB2000 -iaitu sekitar bawah RM1300. Benar atau tidak? Sama-sama kita nantikan.