Cari @ Amanz

Rekaan paparan skrin ultra-lebar kini dilihat semakin popular, khususnya apabila ia boleh digunakan untuk menggantikan setup paparan dwi-skrin yang sebelum ini banyak digunakan oleh bukan sahaja golongan gamer, tetapi mereka yang mementingkan produktiviti dan kecekapan.

Acer nampaknya bakal memasuki arena paparan skrin super ultra-lebar tidak lama lagi dengan penawaran Acer EL491CRG9 yang nampaknya bakal menandingi model-model sedia ada seperti Samsung Odyssey G9 dan ROG Strix XG49VQ keluaran ASUS.

Bermula dengan teknologi paparan, Acer EL491CRG9 ini menggunakan panel VA Mini LED bersaiz 49 inci yang mempunyai nisbah paparan 32:9 dengan resolusi 5K (5120×1440). Sama seperti Samsung Odyssey G9, ia turut mempunyai kadar segar semula 240Hz dan menyokong kedua-dua teknologi penyelarian grafik NVIDIA G-SYNC dan juga AMD FreeSync.

Paparan ini juga hadir dengan rekaan melengkung 1000R untuk pengalaman gaming dan menonton yang lebih mendalam, bersama-sama dengan 2048 zon malap. Lebih menarik lagi ialah paparan ini juga hadir dengan nilai kecerahan setinggi 2000 nit, dan dikatakan akan hadir dengan sokongan untuk teknologi paparan DisplayHDR 2000.

Dari segi sokongan output pula, paparan ini hadir dengan tiga palam HDMI 2.1 yang mampu menyokong resolusi 4K dan kadar segar-semula 120Hz tanpa masalah.

Menurut laporan VideoCardz, paparan skrin ini akan diperkenalkan tidak lama lagi, dan akan hadir di sejumlah pasaran-pasaran terpilih bermula bulan Jun tahun ini. Tanda harga yang diperlihatkan adalah sekitar 14,999 RMB, ataupun sekitar RM 9500.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd