Carian
Ulasan Xiaomi Mi Smart Band 6 – Masih Sama, Tapi Lebih Imersif
May 4, 2021 Fahim Zahar

Setiap tahun Xiaomi akan melancarkan penjejak kesihatan tersendiri mereka. Walaupun mereka sudah mula fokus ke jam tangan pintar asas, Mi Smart Band (nama lama Mi Band) masih terus dikemaskini. Yang terkini memasuki pasaran Malaysia adalah Mi Smart Band 6, yang mana nampak serupa dengan Mi Smart Band 5 – tapi ada sesuatu yang menjadikan versi tahun ini lebih unik.

Saya adalah pengguna penjejak kesihatan Xiaomi sejak Mi Band pertama lagi. Mi Band 1S pun saya pakai, Mi Band 2 dan sampailah yang terkini. Ini membuatkan saya lebih selesa dengan penawaran yang Xiaomi bawakan dan saya rasakan Mi Smart Band 6 ini adalah antara yang terbaik yang pernah mereka hasilkan. Kenapa?


Spesifikasi

Sejak Mi Band 2, Xiaomi mula menyertakan skrin pada penjejak kesihatan ini berbanding generasi lama dengan hanya lampu LED sahaja. Tetapi hanya pada Mi Band 4 barulah skri OLED berwarna digunakan. Sehingga Mi Band 5, semua Mi Band yang ada skrin mempunyai butang sesentuh kapasitif untuk kawalan yang lebih mudah. Butang ini bertindak sebagai butang ke skrin utama atau tekan dan tahan untuk membuka sesuatu.

Pada Mi Band 6, butang ini telah dibuang. Dengan rekaan yang masih lebih kurang sama dengan Mi Band 5, Mi Band 6 mempunyai skrin jauh lebih besar kerana kehilangan butang ini. Daripada 1.1-inci skrin, kini menjadi 1.56-inci, resolusi lebih tinggi iaitu 152 x 486 dan mengekalkan kecerahan yang sama iaitu 450 nits. Mi Band 6 juga sedikit lebih tebal, tetapi tidak begitu ketara bezanya.

Sokongan SpO2, 30 mod sukan, imbasan nadi 24/7, pemantauan tidur, perlindungan 5ATM, bateri 14 hari, pemantauan tekanan, senaman bernafas dan juga mod-mod khusus untuk wanita semuanya masih boleh digunakan. Apa yang ada pada Mi Band 5, ada pada Mi Band 6.

Nampak Sama Tapi Tidak

Disebabkan ia kelihatan lebih kurang sama, rekaan Mi Smart Band 6 ini tiada sebarang faktor mengejutkan. Ia kelihatan sedikit bosan dengan tali jam yang masih lebih kurang sama. Jika anda ada Mi Band 5, Mi Band 6 ini hanyalah versi “Plus” di mana untuk skrin besar. Keselesaan juga masih kekal sama, tiada masalah kulit gatal dan sebagainya.

Apa Yang Baru?

Kalau nampak macam sama, apa pula yang baru? Skrin. Hanya skrin besar perkara yang paling jelas boleh kita bezakan antara dua generasi penjejak kesihatan ini. Dengan skrin yang lebih besar, kandungan yang dipaparkan pun adalah lebih jelas. Contohnya, kini hampir tiga ikon aplikasi boleh dilihat dengan jelas dan tiada masalah untuk tatal, tatal dan tatal pergi ke aplikasi yang ingin dibuka.

Selain itu, Xiaomi turut tambah workout history yang mana membenarkan pengguna untuk pantau sejarah aktiviti yang sudah dilakukan. Bagi yang berminat, 11 mod sukan baharu turut disertakan. Secara tidak langsung menjadikan penjejak kesihatan ini pelengkap untuk memantau kecergasan dan kesihatan pengguna.

Apa Boleh Buat Dengan Aplikasinya?

Kalau sebelum ini Mi Band mengguakan aplikasi Mi Fit, kini seperti Mi Watch – aplikasi Xiaomi Wear perlu digunakan. Aplikasi ini cukup baik dan lebih cantik, kemas serta sedap mata memandang berbanding Mi Fit yang sudah kuno. Walaupun begitu, ia masih tidak tersusun dan boleh dikatakan sedikit serabut kerana terlampau banyak pilihan. Tersusun dan kemas saya katakan ini adalah antaramuka, seperti penggunaan tab, avatar, akses lebih mudah dan pantas.

Agak aneh yang jam Mi Watch yang sudah saya tidak gunakan tidak boleh dibuang. Ia seakan tertambat dalam akaun Xiaomi saya. Tetapi Mi Band tiada masalah untuk ditambah dan dibuang.

Kekurangan aplikasi baru ini adalah ia tiada lagi sokongan penyelarian kepada perkhidmatan lain seperti Google Fit atau Strava. Pada Mi Fit, kedua-dua perkhidmatan ini boleh digunakan bersama-sama dengan Mi Band. Tidak pasti sama ada Xiaomi sudah tidak bekerjasama dengan mereka, atau aplikasi Xiaomi Wear masih belum siap dibangunkan sepenuhnya.

Masih Hebat Atau …?

Jika anda sudah biasa dengan mana-mana penjejak kesihatan, semua pasti tahu tiada yang benar-benar jitu. Mi Band pada hemat saya mempunyai penjejakan tapak yang baik. Ia dalam kategori bolehlah.. Kemudian dari dalam aplikasi Xiaomi Wear atau dalam iOS, Xiaomi Wear Lite – setiap mod penjejakan dan pemantauan mempunyai butiran tambahan yang lebih jelas dan data lebih mudah untuk dibaca da difahami oleh pengguna.

Tidak kiralah nadi, SpO2, bernafas dan lain-lain lagi semuanya menarik untuk dilihat. Untuk pemantauan tidur, di sini Xiaomi punyai konklusi aneh. Sudah tidur beberapa jam pun, malah kadangkala tidur lebih lama daripada biasa – konklusi diberikan adalah tidak cukup tidur. Jadi tidak begitu pasti apa yang Xiaomi inginkan? Adakah tidur selamanya iaitu mati barulah konklusi tidur yang mencukupi?

Walaupun penjejak kesihatan adalah peranti boleh pakai murah/bajet/mampu milik/asas, Xiaomi sedikit ketinggalan berbanding Amazfit di pasaran luar negara. Contohnya Mi Band masih tiada penawaran pembantu digital dan di Malaysia tiada sokongan NFC untuk nyahkunci tombol pintu pintar atau pembayaran nirtunai.

Tapi, kita dapat apa yang kita beli. Harga jualan RM189 adalah memadai dan cukup baik.

Mi Menang Atau Pesaing Lagi Hebat?

Huawei Band 6Mi Smart Band 6Oppo Band
Skrin1.47-inci, AMOLED, 194 x 368 piksel1.56-inci, AMOLED, 152 x 486 piksel1.10-inci, AMOLED,126 x 294 piksel
Sistem OperasiTersendiriTersendiriTersendiri
Perlindungan5 ATM5 ATM5 ATM
BateriTidak didedahkan125mAh100mAh
SensorSensor IMU 6-paksi, pemecut, giroskop, imbasan nadi optikalSensor 6-paksi: 3-paksi pemecut kuasa rendah + 3-paksi giroskop + sensor imbasan nadi PPG3-paksi pemecut , imbasan nadi optikal, sensor SPO2
PengecasanDermaga tersendiriDermaga tersendiriDermaga Tersendiri
Ketahanan BateriSekitar 14 hariSekitar 14 hariSekitar 12 hari
HargaRM219RM189RM159

Kesimpulan

Mi Smart Band 6 adalah penjejak kesihatan yang baik dan cukup memuaskan. Tetapi, skrin yang besar dan tiada lagi butang kawalan kapasitif membuatkan penggunaan sedikit aneh untuk yang sudah menggunakan Mi Band 2. Ia menggunakan kawalan gestur penuh seperti tatal atas, bawah atau sisi. Mengambil masa sekitar 4-5 hari untuk saya biasakan diri. Lain-lain masih hebat.

Walaupun begitu, pengguna Mi Band 5 tidak galakkan tukar ke Mi Band 6 kerana tiada beza yang begitu ketara dan akan mengubah pengalaman penggunaan anda. Sebaliknya Mi Band 6 adalah untuk pengguna Mi Band 4, atau Mi Band 3 dan ke bawah sahaja.

Selepas menggunakan Oppo Band, Mi Band 6 dan Huawei Band 6, saya akan katakan pengalaman yang lebih baik masih dimenangi oleh Xiaomi. Skrin yang besar kepada Huawei, Oppo – susah untuk nilaikan kerana berdasarkan spesifikasi ia adalah yang paling lemah.

Bateri juga masih lebih kurang sama, mampu bertahan maksimum 14 hari atau penggunaan ekstrem seperti banyak notifikasi akan bertahan sekitar 10 hari. Kemudian pengecasan juga lebih efisien, di mana peranti tidak perlu dikeluarkan daripada tali jam. Huawei dan Oppo perlu.


Pro

  • Skrin lebih besar, lebih cantik dan lebih jelas
  • Pengalaman penggunaan lebih memuaskan
  • Pengoptimasian perisian yang menjadikan ia lebih serba lengkap
  • Kaedah pengecasan yang mudah seperti Mi Band 5

Kontra

  • Masih rekaan sama
  • Tiada faktor mengejutkan seperti Google Assistant atau sokongan pembayaran nirtunai
  • Tiada mod basuh tangan
  • Tidak banyak beza dengan versi sebelum
Komen