Huawei bukan lagi jenama yang digemari ramai, sejak peranti mereka tiada sokongan GMS. Walaupun begitu, di Malaysia banyak produk baru Huawei yang dilancarkan di China – akan terus ditawarkan. Malah, Malaysia kini menjadi antara negara terawal global menerima produk-produk baru Huawei seperti skrin pintar Vision S, Huawei Band 6, MateStation dan banyak lagi.

Di Makmal Amanz, Huawei Band 6 telah tiba hampir sebulan lalu. Selepas sekian lama menggunakannya – saya boleh katakan yang penjejak kesihatan ini adalah antara produk terbaik Huawei. Ia lebih kurang dengan Huawe WatchFit pada tahun lepas, tetapi lebih kecil dan lebih mampu milik.
Spesifikasi

Seperti kebanyakan penjejak kesihatan, Huawei Band 6 turut mempunyai banyak ciri dan fungsi yang mirip dengan Mi Smart Band. Ada puluhan mod sukan, sistem pemantauan tidur, imbasan SpO2 sepanjang hari, imbasan nadi, bateri dua minggu dan skrin OLED yang cukup besar dan terang. Saiz skrin adalah 1.47-inci, kerangka adalah aluminium, bentuk adalah sedikit melengkung untuk lebih ergonomik pada pergelanga tangan dan tali jam juga lebih selesa.
Bercakap mengenai tali jam, Huawei masih menggunakan konsep sama sejak bertahun lalu. ia sukar untuk ditanggalkan jika dibandingkan dengan pesaing. Bahan binaan tali jam adalah silikon getah, resolusi skrin adalah 194 x 368 piksel, ada butang fizikal di sisi, menggunakan Bluetooth 5.0, dan juga perlindungan 5ATM.
Nampak Sama Tapi Tidak
Macam saya katakan tadi, Huawei Band 6 kelihatan sama seperti Huawei WatchFit – tetapi sebenarnya tidak. Rekaan ya, mungkin lebih kurang. Tetapi WatchFit jauh lebih lancar dan pantas. Sistem operasi yang digunakan adalah yang tersendiri, bukan Harmony OS. Ia lebih asas, terasa kosong dan lebih ringkas untuk digunakan.

Saiz skrin yang gila besar, mampu memaparkan lebih banyak kandungan seperti mesej boleh dibaca dengan lebih mudah, kawalan sentuhan lebih efisien, dan binaan ringan membuatkan pengguna tidak sedar yang ada peranti boleh pakai berada di tangan.

Tidak dinafikan yang rekaan keseluruhan adalah standard untuk penjejak kesihatan. Tetapi bentuk lengkungan dan saiz skrin besar adalah kekuatan Huawei. Ia juga selesa digunakan pada jangka masa panjang dan tidak mudah gatal kulit seperti Mi Smart Band 6. Disebabkan keunikan ini, ia menjadi kelemahan kerana rekaan yang dikitar semula sejak berzaman. Walaupun ada perubahan, tetapi jika sekadar perubahan kecil dan tidak memberi impak – Huawei Band 6 jika dilihat akan rasa sedikit bosan.
Apa Yang Baru?
Boleh katakan macam tiada yang baru pun. Huawei Band 6 lebih kepada penjenamaan semula Honor Band 6 untuk pasaran Malaysia. Cuma Huawei sudah lama tiada penjejak kesihatan seperti ini, jadi unntuk ia kembali – boleh dikatakan Huawei ada produk peranti boleh pakai yang sedikit lebih segar.
Sensor pemecut disertakan untuk fungsi penjejakan aktiviti, sensor optikal pula adalah untuk imbasan nadi, sensor SpO2, 96 mod sukan, pemantauan kitaran haid, dan banyak lagi semua boleh digunakan pada produk yang kecil ini. Menggunakan sistem tersendiri, pengimbasan nadi Huawei TrueScreen versi keempat digunakan untuk data yang lebih baik. Huawei TrueSleep 2.0 pula untuk pemantauan tidur dan akhir sekali Huawei TruRelax untuk pemantauan tekanan.

Ciri dan fungsi asas seperti main muzik, cuaca, notifikasi, penggera, panggilan telefon, kawalan pengatup kamera semuanya boleh digunakan dengan baik. Oh ya, daripada 96 mod sukan tadi – 11 mod adalah yang baru dan beberapa daripadanya boleh aktif secara automatik.
Masih Hebat Atau …?
Kehebatan adalah is lancar dan pantas. Menjadikan pengalaman mengendalikan produk ini cukup baik, Tetapi sayang sekali, ia tidak begitu hebat dan terlampau asas. Asas di mana ia tidak mampu bersaing dengan Mi Smart Band 6 seperti antaramuka mesra pengguna, peralihan animasi lebih pantas, sesentuh yang lebih responsif dan banyak juga ciri tiada.

Kawalan pada skrin dan menggunakan butang adalah baik sahaja, tiada masalah serius pun. Tetapi disebabkan ia terlampau asas, selepas menggunakan sekitar seminggu ia mula rasa bosan. Tiada faktor yang boleh buat saya ternganga kerana teruja.
Boleh jadi saya sudah terlampau biasa dengan Mi Smart Band, saya rasakan Huawei Band ini bosan. Baiklah, isu pertama yang saya menyampah adalah getaran yang murahan. Maklum balas getaran produk ini lemah sekali. Ia seakan sebuah peranti murah dengan enjin getaran yang sudah nak rosak. Ia membuatkan pergelangan tangan rasa geli.

Kedua adalah mod menjejak aktiviti secara automatik terlampau terhad untuk aktiviti tertentu sahaja. Apabila sedang berlari pula, imbasan nadi dan jumlah tapak tidak begitu memuaskan jika dibandingkan dengan pesaing. Tetapi jumlah data yang boleh direkod adalah menakjubkan dan semua data ada notis untuk menjelaskan butiran lanjut.
Kemudian yang saya tidak gemar dengan Huawei Band 6 adalah pemberian notifikasi yang tidak efisien. Ya, faham ini adalah asas jadi notifikasi tidak boleh dibalas. Tetapi untuk tatal pun sukar. Walaupun ia lancar dan pantas, masih ada isu sedikit menjadikan prestasi perisian tidak begitu baik.

Melalui pengecasan bermagnet dengan dermaga khas, Huawei Band 6 menyokong sehingga 14 hari ketahanan. Itu mungkin jika jimat gila, kerana dalam ujian saya penggunaan harian biasa menjadikan ketahanan bateri hanya sekitar satu minggu.
Apa Boleh Buat Dengan Aplikasinya?


Aplikasi untuk menambat produk ini ke peranti adalah Huawei Health. Ia menyokong pada Android dan juga iOS. Aplikasi ini adalah aplikasi dengan pengalaman penggunaan yang teruk. Ia bukan sahaja perlu dikemaskini daripada Play Store, kerana jika versi baru sudah dipasangkan – akan ada kemaskini dari dalam aplikasi pula untuk menyenaraikan produk lain Huawei.
Walaupun begitu, ia kemas dan ringkas. Cuma ia terlampau banyak dan boleh sahaja disusun untuk kelihatan lebih minimal. Aplikasi Mi Fit atau Xiaomi Wear jauh lebih selesa. Semua data boleh diakses daripada aplikasi ini, untuk pengguna lihat, pantau dan keluarkan kesimpulan mengenai aktiviti harian atau mingguan. Cuma, aplikasi Huawei Health ini jika digunakan anda memberikan perasaan seakan ada sesuatu yang tidak kena.

Untuk pengguna biasa, semua data tertera dalam aplikasi mudah dibaca. Malah aplikasi iOS jauh lebih lancar. Penggunaan juga lebih selesa dan lebih mudah faham. Tidak pasti kenapa begini.
Aplikasi juga ada iklan dalaman, di mana Huawei mempromosikan produk dan perkhidmatan tersendiri. Ia ciri yang baik, tetapi tidak diperlukan. Jika jam tidak mengaktifkan mod sukan automatik, boleh sahaja diakses secara manual dari dalam aplikasi.

Di Android, jika Huawei Band 6 tidak ditambat – ia boleh paparkan notifikasi jumlah tapak dengan menggunakan sensor telefon sahaja. ia boleh dimatikan, tetapi data turut digabungkan dalam satu carta yang sama.
Huawei Menang Atau Pesaing Lagi Hebat?
Huawei Band 6 | Mi Smart Band 6 | Oppo Band | |
Skrin | 1.47-inci, AMOLED, 194 x 368 piksel | 1.56-inci, AMOLED, 152 x 486 piksel | 1.10-inci, AMOLED,126 x 294 piksel |
Sistem Operasi | Tersendiri | Tersendiri | Tersendiri |
Perlindungan | 5 ATM | 5 ATM | 5 ATM |
Bateri | Tidak didedahkan | 125mAh | 100mAh |
Sensor | Sensor IMU 6-paksi, pemecut, giroskop, imbasan nadi optikal | Sensor 6-paksi: 3-paksi pemecut kuasa rendah + 3-paksi giroskop + sensor imbasan nadi PPG | 3-paksi pemecut , imbasan nadi optikal, sensor SPO2 |
Pengecasan | Dermaga tersendiri | Dermaga tersendiri | Dermaga Tersendiri |
Ketahanan Bateri | Sekitar 14 hari | Sekitar 14 hari | Sekitar 12 hari |
Harga | RM219 | RM189 | RM159 |
Kesimpulan, Patut Ke Beli?
Antara penjejak kesihatan yang baru sahaja dilancarkan di Malaysia adalah Huawei Band 6, Mi Smart Band 6 dan juga Oppo Band. Huawei adlah yang paling premium dan mahal dengan harga RM219. Jenama lain menjual pada bawah RM200. Untuk penawaran yang Huawei bawakan, skrin besar, aplikasi yang ok, sensor yang mencukupi dan pengalaman penggunaan yang agak memuaskan – Huawei Band 6 tidak dinafikan antara yang terbaik.

Tetapi apabila menggunakannya, ia terasa kosong. Muka jam pula terlampau ceria dan tidak sesuai dengan pengguna profesional. Memandangkan Xiaomi menjual pada harga RM189 dan mempunyai ciri dan fungsi jauh lebih baik, pada hemat saya Mi Smart Band 6 lebih berbaloi.
Tetapi, jika anda adalah pengguna produk Huawei dan ingin teruskan gaya hidup anda dengan ekosistem Huawei – penjejak kesihatan ini untuk anda.
Pro
- Skrin besar yang padat dengan kandungan
- Prestasi yang cukup lancar
- Padat dengan sensor menarik setanding pesaing
- Mudah dikendalikan
Kontra
- Aplikasi agak sukar digunakan di Android berbanding iOS
- Pilihan muka jam tidak menarik
- Notifikasi tidak boleh dikawal/balas, hanya lihat
- Tali jam sukar ditukar
