Oppo adalah jenama yang dikenali ramai. Di Malaysia ramai mengenali Oppo kerana menawarkan banyak pilihan peranti kelas pertengahan dengan fokus tersendiri yang tidak ditawarkan oleh pesaing. Antaranya adalah kamera dengan mod kecantikan atau peranti yang memfokuskan kepada fesyen serta gaya hidup. Sejak tahun lepas, Oppo mula hadir dengan jam tangan pintar mereka tersendiri. Tidak seperti OnePlus yang hadir dengan jam tangan pintar asas, Oppo berani untuk hadir dengan Wear OS.
Mengejutkan adalah, Oppo Watch yang dijual menggunakan cip Snapdragon Wear usang. Tetapi dengan kepakaran Oppo dalam perisian, Wear OS pada jam mereka terasa lancar dan memuaskan. Meneruskan usaha mereka dalam peranti boleh pakai adalah Oppo Band. Ia adalah jenama mereka tersendiri dan bukan lagi kerjasama dengan Olike seperti sebelum ini. Duka cita dimaklumkan, Oppo Band ini lambat hadir ke pasaran kerana pesaing sudah menawarkan produk yang berkali ganda lebih hebat dan berbaloi.
Spesifikasi
Oppo Band menggunakan skrin rata 1.1-inci AMOLED berwarna dengan 126 x 294 piksel. Ia dijana dengan cip Apollo3, serta memori 16MB. Bluetooth adalah jenis 5.0, bersama-sama dengan sensor pemecut 3-paksi, pengimbas nadi dan juga sensor untuk SpO2. Perlindungan adalah 5ATM, jadi tiada masalah untuk redah dalam hujan atau di bawa berenang.
Seperti kebanyakan penjejak kesihatan, Oppo Band boleh ditanggalkan daripada tali jam untuk tujuan pengecasan dalam dermaga tersendiri. Selain mampu memantau tidur, membaca SpO2, mengimbas nadi 24 jam, menyokong perlbagai mod sukan, memberi peringatan – Oppo Band boleh memberi notifikasi, penggera dan lain-lain seperti produk yang sama ditawarkan pesaing.
Apa Yang Anda Patut Tahu?
Oppo Band adalah seakan penjejak kesihatan generasi pertama Oppo. Ia terlampau asas seakan Mi Band 1 dengan skrin sahaja. Walaupun ia menawarkan rekaan yang sedikit berbeza, tetapi bentuk Mi Band itu masih jelas dan Oppo menggunakan dagu tebal untuk meletakkan logo mereka. Rekaan juga jenis yang leceh, sedangkan Xiaomi pun sudah beralih dengan konsep tidak perlu mengeluarkan peranti daripada tali jam. Untuk mengecas Oppo Band, ia perlu dikeluarkan.
Syukur, apa yang Oppo bawakan dari segi rekaan dan binaan adalah ianya ringan dan selesa di pergelangan tangan. Walaupun sedikit tebal, tetapi ia tidak rasa janggal. Cuma, tali jam adalah jenis suka tukar menjadikan tali jam Mi Band lebih baik dan mudah untuk pengguna ubah dengan versi yang padan dengan citarasa masing-masing.
Mod sukan hanya ada 12, berbanding pesaing yang menawarkan berpuluh pilihan. Mungkin untuk penjejakan kesihatan dan pemantauan kasual memadai. Tetapi harga jualan RM159 adalah tidak bersesuaian.
Pengalaman Penggunaan
Dengan penggunaan tali jam jenis TPU, serta butang untuk masuk ke lubang aluminium – ia adalah asas. Menurut Oppo, ia adalah tali jam yang sesuai untuk penggunaan bersukan. Tetapi tidak memberi pilihan menukar tali jam yang lebih fleksibel, Oppo jauh ketinggalan.
Ketahanan bateri juga agak lemah. Dengan kapasiti 100mAh dan menjanjikan ketahanan hanya 12 hari, sukar untuk Oppo bersaing dengan Huawei atau Xiaomi yang menawarkan ketahanan sehingga 14 hari. Walaupun begitu, 12 hari dengan penggunaan asas juga tidak saya terima. Malah penggunaan saya dengan notifikasi, senaman bernafas dan tidur hanya bertahan sekitar 8 hari sahaja.
Apa Yang Unik?
Boleh dikatakan mod suka yang terhad adalah mod yang orang akan gunakan. Jadi mungkin ada 30 mod sukan, tetapi tidak memanfaatkan kesemuanya – pasti tiada guna. Keunikan Oppo adalah menawarkan ciri dan fungsi tanpa gimik. Seperti Mi Smart Band 6, Oppo Band tiada butang fizikal atau butang sentuhan kapasitif – jadi kawalan adalah pada gestur sepenuhnya.
Walaupun ia adalah generasi pertama Oppo, perisian tersendiri yang dijalankan mudah untuk dikendalikan. Ia terasa lancar, tetapi tidak cukup pantas kerana ada sela masa di antara peralihan animasi. Penjejakan dan pemantauan juga cukup baik dan boleh dikatakan selari dengan kebanyakan penjejakan kesihatan yang berada di pasaran.
Aplikasi HeyTap Health, Apa Itu HeyTap?
HeyTap adalah perkhidmatan digital atau perisian yang ditawarkan oleh Oppo. Dalam Hey, terdapat banyak produk seperti storan awan, aplikasi untuk aksesori audio, dan lain-lain. Untuk menggunakan Oppo Band, aplikasi HeyTap Health perlu digunakan. Ia adalah seakan TicWatch yang memerlukan aplikasi Wear OS dan Mobvoi untuk penggunaan lebih efisien.
Aplikasi HeyTap Health walaupun asas, ia menarik untuk digunakan. Ia menawarkan satu pengalaman yang sedikit berbeza berbanding aplikasi penjejak kesihatan lain. Antaranya adalah kalendar yang boleh pengguna akses data harian untuk lihat data apa yang telah terkumpul/ Atau penawaran pelbagai data dalam bentuk cards dan tiles yang interaktif dan seronok.
Mengejutkan, aplikasi pada iOS jauh lebih menarik dan lancar digunakan berbanding pada Android. Apa yang HeyTap Health tawarkan adalah seakan Mi Fit pada awalnya, tetapi dengan antaramuka yang jauh lebih mesra.
Cuma, kemaskini dan ubah muka jam adalah sedikit perlahan dan mengambil masa yang pada hemat saya agak menjengkelkan. Pilihan muka jam juga tidak begitu banyak, jadi tidak menarik.
Oppo Terlambat, Pesaing Jelas Menang!
Huawei Band 6 | Mi Smart Band 6 | Oppo Band | |
---|---|---|---|
Skrin | 1.47-inci, AMOLED, 194 x 368 piksel | 1.56-inci, AMOLED, 152 x 486 piksel | 1.10-inci, AMOLED,126 x 294 piksel |
Sistem Operasi | Tersendiri | Tersendiri | Tersendiri |
Perlindungan | 5 ATM | 5 ATM | 5 ATM |
Bateri | Tidak didedahkan | 125mAh | 100mAh |
Sensor | Sensor IMU 6-paksi, pemecut, giroskop, imbasan nadi optikal | Sensor 6-paksi: 3-paksi pemecut kuasa rendah + 3-paksi giroskop + sensor imbasan nadi PPG | 3-paksi pemecut , imbasan nadi optikal, sensor SPO2 |
Pengecasan | Dermaga tersendiri | Dermaga tersendiri | Dermaga Tersendiri |
Ketahanan Bateri | Sekitar 14 hari | Sekitar 14 hari | Sekitar 12 hari |
Harga | RM219 | RM189 | RM159 |
Kesimpulan
Apabila bandingkan dengan Huawei Band 6 dan Mi Smart Band 6 – Oppo Band memang ketinggalan. Jika harga RM99 mungkin tidak menjadi masalah, tetapi meletakkan harga lebih RM100 iaitu RM159 – agak sukar untuk mencadangkan Oppo Band kepada orang ramai. Selepas menawarkan Oppo Watch dengan Wear OS, sekurang-kurangnya produk kesihatan asas ini akan cuba memberikan pengalaman penggunaan yang selari. Seperti Xiaomi di antara Mi Watch Lite dan Mi Watch.
Dengan pengalaman menggunakan pelbagai jenis peranti boleh pakai, penawaran Oppo Band ini masih tidak matang atau agak terlambat daripada pesaing. Perisian dalam jam juga seakan diterjemah secara terus daripada bahasa China ke Inggeris, jadi teks kelihatan tidak cantik dan kemas.
Oppo patut hadir terus dengan jam tangan pintar asas, untuk bersaing dengan OnePlus Watch, Mi Watch atau juga Realme Watch.