Cari @ Amanz

Jenama Xiaomi sering mengagumi pengguna setianya dengan cara yang tersendiri. Dalam perkembangan terkini, Xiaomi dilaporkan telah memfailkan paten untuk sebuah konsep rekaan peranti menarik. Melaluinya, ia mempelihatkan peranti berkenaan disertakan dengan bonggol kamera berbentuk kilat. Dokumen paten mereka ini telah ditemui menerusi laporan LetsGoDigital hari ini dan terdapat sehingga 32 imej produk yang telah difailkan.

Melaluinya, peranti berkenaan akan dilengkapi rekaan berkotak seakan siri iPhone 12. Turut kelihatan, peranti ini tidak mempunyai sebarang butang fizikal dan lubang yang disertakan bersama-sama dengannya. Ia didatangkan dengan paparan yang besar, tetapi tiada sebarang takuk mahupun lubang yang kelihatan pada bahagian skrin ini.

Justeru, peranti Xiaomi ini kelak dipercayai menggunakan teknologi kamera di bawah skrin. Pastinya ianya juga secara tidak langsung turut menguatkan spekulasi tersebar yang mengatakan peranti Xiaomi dengan kamera bawah skrin akan dilancarkan pada tahun ini.

Bahagian belakang pula hadir dengan rekaan modul kamera yang direka secara unik. Di mana, Xiaomi meletakkan susunan sensor dalam reka bentuk seakan kilat. Melaluinya, ia mungkin mempunyai sokongan tiga sensor bersama satu LED Flash. Terdapat juga kemungkinan ia akan membawakan sokongan dwi-LED Flash bersama dwi-kamera utama.

Buat masa ini ia masih sekadar paten dan belum diketahui sama ada produk akhir akan menggunakan konsep sebegini ataupun sebaliknya. Tetapi jika ianya benar, apa pendapat anda mengenainya?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd