Cari @ Amanz

Apple hari ini turut telah memperkenalkan kotak penghubung televisyen mereka generasi baharu, Apple TV 4K. Untuk makluman, generasi baharu ini akan menggantikan model pada tahun 2017 sebelum ini, dan hadir dengan sejumlah pembaharuan.

Paling utama, kini ia hadir dengan cip Apple A12 Bionic, sekaligus menawarkan prestasi lebiih berkuasa, menyokong 60FPS Dolby Vision melalui AirPlay, serta pada masa yang sama menyokong penstriman 4K dalam bentuk HDR.

Dengan cip berkuasa juga, pengguna boleh menikmati kandungan pada kadar segar semula lebih tinggi. Rekaan menyeluruh kotak Apple TV adalah lebih kurang sama seperti generasi sebelum ini. Pada masa yang sama, anda kini turut boleh menggunakan Apple TV 4K bersama iPhone dalam mengoptimasikan warna pada skrin televisyen. Ini dijayakan melalui penggunaan bersama sensor cahaya pada iPhone.

Tetapi, turut menerima pembaharuan adalah alat kawalannya. Alat kawalan Apple TV 4K yang baharu kini lebih mesra ditangan, turut mempunyai butang Siri pada bahagian tepi alat kawalan, serta butang kawalan yang lebih mudah dan senang dicapai.

Di Malaysia, Apple TV 4K akan ditawarkan pada harga RM849. Pengguna turut boleh mendapatkan Apple TV HD bersama alat kawalan baharu ini pada harga RM719. Alat kawalan juga boleh dibeli berasingan pada harga RM229 dan boleh digunakan bersama Apple TV 4K dan HD sedia ada di pasaran.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd