Apple hari ini turut telah mengemaskini penawaran iMac mereka dengan dijana menggunakan cip pemprosesan mereka tersendiri, Apple M1. Penawaran baharu ini sekaligus akan menggantikan Apple iMac di pasaran berasaskan Intel – dan selari dengan latar masa Apple dalam beralih kepada komputer berasaskan cip pemprosesan mereka tersendiri dalam tempoh kurang 2 tahun.
Penggunaan cip Apple M1 membolehkan Apple iMac kini beroperasi dengan lebih senyap dan sejuk berbanding sebelum ini.
Apple iMac hadir dengan skrin 24-inci, dan menawarkan paparan pada resolusi 4.5K. Dengan penawaran ini, ia memudahkan pengguna melakukan pelbagai penyuntingan video dengan mudah melaluinya.
Apple iMac turut menyertakan kemaskini pada kamera yang membolehkan pengguna melakukan panggilan video 1080p.
Menariknya juga, iMac kini hadir dengan pilihan warna-warni mengikut citarasa pengguna. Melengkapkan penawaran ini juga adalah kemaskini kepada tetikus dan papan kekunci yang hadir dengan pilihan berwarna. Apple turut menyertakan sokongan Touch ID pada papan kekunci iMac dalam menawarkan sekuriti tambahan.
Di Malaysia, Apple iMac dengan 7-teras GPU akan ditawarkan pada harga RM5599 dan RM5379 (untuk pendidikan). Versi ini hadir dengan cip Apple M1 8-teras, dijana memori 8GB RAM, storan 256GB SSD, dua port Thunderbolt, Magic Keyboard dan Magic Mouse.
Versi GPU 8-teras pula akan ditawarkan pada harga RM6449 (RM6019 untuk pendidikan) – hadir bersama cip 8-teras, memori 8GB RAM, storan 256GB SSD, dua port Thunderbolt, dua port USB 3, Magic Keyboard dengan Touch ID, Magic Mouse dan Ethernet.