Seperti dinantikan ramai, Apple hari ini telah memperkenalkan kemaskini untuk iPad Pro – dan menyertakan pelbagai pembaharuan baharu.
Menariknya, paling mencuri perhatian adalah penggunaan cip pemprosesan pada iPad Pro. Berbeza dengan sebelum ini, kini iPad Pro dijana dengan cip pemprosesan yang sama terdapat pada MacBook dan juga iMac Mini, iaitu cip Apple M1.
Dengan penggunaan cip pemprosesan ini, ia sekaligus menawarkan prestasi yang sangat tinggi pada iPad Pro ini.
Bersama-sama dengannya juga, iPad Pro kini menyokong rangkaian 5G, selain turut dilengkapi dengan sokongan Thunderbolt dengan sokongan USB 4.0 untuk menghubungkan beberapa aksesori seperti storan dan juga panel paparan beresolusi tinggi.
Dari segi panel paparan pula, model 12.9-inci iPad Pro kini dilengkapi panel berasaskan Mini-LED dan Apple memanggilnya sebagai Liquid Retina XDR. Model bersaiz 11-inci masih belum menyertakan panel berasaskan mini-LED buat masa ini.
Pada bahagian kamera pula, iPad Pro hadir dengan kamera 12-megapixel untuk panggilan video. Apple turut menyertakan apa yang dinamakan Center Stage untuk menawarkan pengalaman panggilan video lebih baik yang menyesuaikan kamera berdasarkan berapa ramai yang menyertainya – sama ada memfokuskan kepada seorang, atau merakamkannya secara meluas.
Apple juga turut menyertakan pengimbas LIDAR dalam membolehkan rakaman gambar dan video lebih baik ketika waktu gelap.
Di Malaysia, iPad Pro akan ditawarkan tidak lama lagi. iPad Pro akan ditawarkan dalam pilihan storan 128GB, 256GB, 512GB, 1TB dan juga 2TB.
iPad Pro 11-inci akan ditawarkan pada harga bermuka RM3499 untuk versi WiFi, dan RM4149 untuk versi selular.
iPad Pro 12.9-inci pula akan ditawarkan pada harga bermula RM4799 untuk versi WiFi, dan RM5449 untuk versi selular.