Carian
Ulasan Realme 8 Pro – 108MP Bukanlah Segala-Galanya
April 23, 2021 Amy Maizuraa

Realme 8 Pro akhirnya rasmi untuk pengguna di Malaysia. Melihat kepada perkiraan paten, Realme memperkenalkan peranti baharu di bawah siri ini untuk setiap enam bulan. Jadinya kita boleh menjangkakan mereka bakal memperkenalkan penawaran siri baharu lagi pada enam bulan akan datang. Berbalik kepada Realme 8 Pro, awal pengenalannya menjadi tumpuan ramai. Mengapa agaknya? Jawapannya ada di dalam artikel ulasan ini. Mengulas lanjut mengenai spesifikasi ringkasnya, ia merupakan sebuah lagi peranti pintar dengan jaaan cip Snapdragon 720G di Malaysia untuk tahun 2021.

Ya, cip Snapdragon 720G. Ini juga adalah cip yang digunakan oleh Realme sejak penawaran Realme 6 Pro sebelum ini. Namun begitu, fokus Realme untuk kali ini adalah pada keupyaan kamera dengan sensor lebih tinggi iaitu 108-Megapixel. Selain itu, jenama ini turut menjadikan sokongan pengecasan pantas 50W sebagai satu lagi titik jualan untuk peranti ini. Bagaimana untuk spesifikasinya dalam dunia nyata? Saya akan bincangkan dalam artikel ulasan ini. Bagaimanapun, mesra dikatakan anda mempunyai hak sendiri untuk menilai. Okay, mari teruskan membaca…


Spesifikasi Ringkas Peranti

Realme 8 Pro
JenisPeranti Pintar
Paparan6.4-inci Super AMOLED FHD+(1080 x 2400), 60Hz
PemprosesSnapdragon 720G (8nm)
Cip2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Cip GrafikAdreno 618
RAM8GB
Muatan Dalaman128GB (UFS2.1)
Kamera Utama108 MP (f/1.9) – (Utama)
8 MP (f/2.3) – (Sudut Lebar)
2 MP (f/2.4) – (Makro)
2 MP (f/2.4) – (B&W)
Kamera Depan16 MP (f/2.1)
Bateri4,500mAh + 50W SuperDart Charge
Sim / TelefoniNano SIM + Nano SIM + MicroSD
Ketahanan Kalis AirTiada
Sistem ImbasanPengimbas Cap Jari + Imbasan Wajah
Harga JualanRM1,299

Rekaan

Rasanya sudah menjadi lumrah, kebanyakan peranti daripada Realme menggunakan binaan berasaskan plastik. Sama seperti Relme 8 Pro ini sendiri. Peranti pintar ini masih menggunakan panel belakang plastik. Tetapi, kemasannya di sini mempunyai tekstur yang agak menarik. Jelas kelihatan, Realme menggunakan kemasan warna cerun bagi menaikkan lagi seri pada peranti pintar ini supaya nampak lebih cantik. Apabila dipegang, kemasannya di sini terasa kasar bersama logo ‘DARE TO LEAP’ dan realme yang berkilat.

Pujian masih boleh diberikan dengan kemasan yang sebegini. Penampilannya di sini mungkin bukan paling menarik. Tetapi kemasan sebegini, ia menjadikan panel belakang peranti pintar ini tidak terlalu licin. Melainkan kalau anda jenis yang kerap berpeluh di tangan. Panel belakang ini sememangnya akan terasa sedikit licin apabila di berada dalam genggaman. Seterusnya, kemasan sebegini juga tidak mudah memerangkap atau kotor dengan cap jari. Jadinya, tidak menggunakan kerangka bersama-sama denganya dirasakan bukan satu masalah yang besar.

Namun begitu, Realme masih tidak lokek untuk memberikan kerangka silikon asas secara percuma di dalam kotak pembelian. Tidak habis di situ, kemasan sebegini juga mampu bantu dalam memberikan cengkaman yang baik. Di tambah pula dengan binaannya yang nipis dan ringan, secara tidak langsung ia memudahkan saya untuk membawanya ke mana-mana sahaja tanpa sebarang isu. Jadi, pengalaman keselesaan di dalam genggaman itu – saya tidak boleh kompromi di sini.

Pujian seterusnya turut boleh diberikan pada kombinasi warna-warna ceria yang disertakan. Misalnya, rona biru dan biru cair yang terdapat pada unit ulasan ini – secara tidak langsung mampu untuk menyerlahkan lagi gaya si pemakai itu sendiri. Untuk yang bertanya mengenai kod warna peranti ini, ianya adalah Infinite Blue. Saya juga merasakan aura warna yang sebegini sememangnya cukup sesuai – baik untuk lelaki ataupun perempuan.

Kritik pada dasarnya adalah lawan daripada pujian. Maka, komen negatif perlu kami berikan untuk tulisan ‘DARE TO LEAP’ yang besar pada panel belakangnya. Saya pasti tidak semua orang akan suka atau boleh terima kemasan yang sarat seperti ini. Seperti yang boleh dilihat, saiz font yang digunakan terlalu besar sehingga hampir memenuhi separuh daripada panel belakang. Ianya nampak cukup sarat. Jadi, bagi anda mencari peranti pintar dengan kemasan minimalis, ringkas dan tidak sarat. Peranti pintar ini pastinya tidak akan penuhi cita rasa anda. Sejujurnya, saya sendiri tidak menyukainya kerana ia agak mengganggu bila tiap kali memandang panel belakang ini.

Seperkara lagi di sini, kalau perasan rekaan untuk modul kamera belakangnya terasa berbeza sekali. Melaluinya, ada sehingga empat bonggol kamera berbeza untuk setiap satu sensor. Kesemuanya disusun dalam bentuk segi empat sama. Pada masa sama, rekaan modul kamera ini juga kelihatan agak terkeluar sedikit daripada tubuh. Sudah pasti, ianya tidak boleh diletakkan secara rata pada permukaan meja. Ini kerana, peranti pintar ini semestinya akan terjongket sedikit.

Bergerak ke butang-butang penting seperti butang kuasa dan laras suara boleh dijumpai pada sisi kanan. Kemudian, sisi kiri pula terdapatnya ruangan untuk slot SIM. Ruangan ini menyokong sehingga tiga slot kad berbeza untuk memudahkan penggunaan kad microSD dan dwi-SIM secara serentak. Untuk sambungan pula, Realme 8 Pro menggunakan port sambungan USB-C dan masih menyediakan bicu audio 3.5mm yang diletakkan pada bahagian bawah bersama-sama dengan port sambungan tadi.


Paparan

Artikel ini diteruskan lagi ke bahagian hadapan pula. Skrin rata dengan panel berlubang pada Realme 8 Pro mempunyai saiz yang ideal. Skrin ini bersaiz 6.4-inci Super AMOLED dengan resolusi FHD+ dan menyokong 60Hz. Kalau masih ingat, ini juga adalah penawaran yang sama terdapat pada model Realme 7 Pro sebelum ini. Dari segi kualiti, ketarangan skrinnya agak baik tapi tidak ada yang istimewa. Resolusi FHD+ sudah boleh dikatakan standard untuk mana-mana peranti dalam kelas yang sama.

Ia juga hanya sedap mata memandang tidak kira ketika menggunakan peranti pintar ini untuk tontonan video di Youtube atau melihat apa-apa kandungan imej yang terpapar pada skrin. Kekurangan ketara yang boleh dikritik adalah ketiadaan kadar segar semula yang tinggi. Realme masih kekal dengan skrin 60Hz dan ia agak mengecewakan. Ini disebabkan, ia merupakan model baharu. Jadi, saya menjangkakan sesuatu yang lebih baik daripada generasi sebelum ini. Tapi ternyata tidak, ianya sama sahaja. Bahkan, jika anda masih ingat Realme 6 Pro sebelum ini Realme mampu untuk menawarkan skrin 90Hz. Mengapa tidak untuk kali ini? Hanya Realme sahaja yang tahu jawapannya. 


Prestasi

Bercakap mengenai prestasi, Realme 8 Pro adalah peranti pintar 4G dengan janaan cip Snapdragon 720G bersama memori 8GB RAM. Kami pasti akan ada di antara pengguna yang meluahkan rasa kecewa dengan perkara ini. Masakan tidak, ini adalah cip yang sama digunakan sejak dua generasi terdahulu – bermula daripada Realme 6 Pro, kemudian Realme 7 Pro. Terkini, Realme 8 Pro pula. Sekali lagi, mengapa? Menurut Realme sendiri, Snapdragon 720G masih merupakan salah satu cip pemprosesan 4G terbaik di pasaran dan jurutera mereka mempunyai pengalaman hebat dalam mengoptimumkan prestasi lebih baik pada peranti.

Meskipun begitu, usah khuatir kerana ianya masih mampu menggalas tugasan harian dengan baik-baik sahaja. Ini termasuklah saya menggunakannya untuk melayari web, menatal media sosial dan sejumlah lagi aktiviti lain yang berkaitan. Tetapi, bohong rasanya jika saya katakana baik semunnya bukan? Tidak dinafikan, masalah lengah masa itu juga masih berlaku untuk beberapa situasi. Misalnya, ketika saya sedang menavigasi antaramuka.

Jadinya, kalau anda boleh berkompromi dengan prestasi yang sederhana ini. Rasanya, tiada masalah untuk membelinya seunit. Tapi, seandainya anda adalah pengguna Realme 7 Pro yang sedia ada, rasanya tidak ada alasan untuk anda naik-taraf kepada Realme 8 Pro. Melainkan, anda mahu rasa pengalaman penggunaan kamera sensor besar 108-Megapixel yang mana saya bakal ceritakan kualitinya pada perenggan seterusnya.

Prestasi panggilan juga baik – yang mana keseluruhannya tiada masalah. Kualiti panggilan yang jelas dapat dinikmati. Suara juga boleh didengar dengan baik. Saya juga sempat mengujinya dengan fungsi GPS terbina untuk Google Maps. Ianya dilihat mampu berfungsi dengan baik dan boleh dikatakan hampir tepat dari segi haluan yang dipaparkan. Dalam pada itu, lokasi juga boleh dijejak dengan pantas seusai sahaja aplikasi dibuka.


Kamera

Satu perkara baru yang perlu diketahui di sini, Realme 8 Pro menggunakan sensor utama 108-Megapixel dengan sokongan sensor Samsung ISOCELL HM2. Rasanya, ini sahaja peningkatan yang paling ketara. Lain-lain sensor masih lagi sama dengan sejumlah peranti pintar mereka yang sebelum ini. Ia diikuti dengan 8-Megapixel (ultra-lebar) + 2-Megapixel (makro) + 2-Megapixel untuk tujuan monokrom.

Kamera utama mampu berfungsi dengan baik. Kami rasanya ianya dapat beri kepuasan kepada pengguna itu sendiri ketika tangkapan untuk gambar dibuat. Dari segi prestasi, gambar yang terhasil nampak baik dengan ketajaman yang memuaskan. Bukan itu sahaja, ketajaman ada imej juga dilihat Berjaya diperlihara dengan baik dan pewarnaan padanya juga hampir tepat apabila diambil dalam situasi terang.

Menjadi adat kepada peranti Realme, setiap satu daripadanya akan disertakan dengan mod khusus yang dinamakan sebagai “Chroma Boost”. Dengan mengaktifkannya, ia akan menaikkan lagi kontras pada gambar dan menjadikan warna lebih jitu. Bagaimanapun, saya tidak berapa gemar menggunakannya kerana hasil gambar menjadi tidak neutral.

Kamera pada Realme 8 Pro ini juga boleh dizum sehingga 20X. Tetapi, hasil zum yang dirasakan baik hanya sehingga 3X zum sahaja. Sebelihnya, sama sekali tidak disarankan kerana imej kemudiannya akan menjadi pecah. Kemudian, ia akan kelihatan kabur dan lebih teruk lagi keperincian padanya juga mula hilang.

1X Zoom
3X Zoom
20X Zoom

Kualiti gambar mlam tidak ada peningkatan besar yang boleh dilihat. Ia masih ditahap memuaskan tetapan mudah terdedah dengan kesan hingar. Kamera ini turut menyertakan mod malam khusus bersama-sama dengannya. Tetapi, ia akan mengambil sedikit masa untuk memproses gambar. Untuk gambar ultra-lebar dan portrait, penghasilan semua gambar nampak memuaskan tetapi bergantung juga pada situasi sekeliling.

Hasil gambar portraitnya boleh membezakan subjek daripada latar belakang dengan baik. Tetapi, masih terdapat beberapa bahagian yang masih perlu diperbaiki. Hasil gambar makro pula, tidak ada yang istimewa. Hasilnya tidak jelas walaupun diambil pada jarak yang dekat. Akhir sekali, kamera hadapan 16-Megapixel, hasil gambar nampak memuaskan dan seperti biasa di sini juga masih terdapatnya fungsi kecantikan terbina.

Dynamic Bokeh

Rakaman video pada Realme 8 Pro juga adalah baik. Untuk tetapan, ianya mampu merakaman sehingga tetapan tertinggi 4K dengan resolusi 30fps. Mod penstabilan khusus turut boleh ditemui bersama-sama dengannya bagi penghasilan video yang lebih stabil. Bukan itu sahaja, sejumlah mod atau penuras kesan khas untuk tujuan rakaman video lebih menarik turut boleh ditemui padanya – seperti Dual-View Video Mode, AI Color Portrait, Ultra Nightscape Video, Tilt Shift Mode dan sebagainya.


Bateri

Kemudian, kapasiti bateri. Dengan bateri 4,500mAh yang digunakan ini, kalau perasan ini adalah kapasiti bateri yang sama dengan Realme 7 Pro sebelum ini. Bila saya menggunakannya dalam situasi yang sederhana – ia mampu memberi bacaan SOT sehingga 9 jam. Untuk pengecasan semula, Realme 8 Pro menyokong pengecasan 50W. Tetapi, Realme menyertakan kepala pengecas 65W di dalam kotak. Port sambungan USB digunakan di sini dan ia mengambil masa sekitar 50 minit untuk pengecasan penuh.


Perbandingan Peranti Pesaing

Realme 8 ProSamsung Galaxy A52Redmi Note 10 Pro
6.4-inci Super AMOLED FHD+(1080 x 2400), 60Hz6.5-inci Super AMOLED FHD+ (1080 x 2400), 90 Hz6.67-inci AMOLED
FHD+(1080 x 2400), 120Hz
Snapdragon 720G (8nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Snapdragon 720G (8nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 465 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 465 Silver
Snapdragon 732G (8 nm)
2 x 2.3 GHz Kryo 470 Gold
6 x 1.8 GHz Kryo 470 Silver
Adreno 618Adreno 618Adreno 618
8 Gigabyte8 Gigabyte8/6 Gigabyte
128GB Gigabyte256 Gigabyte128GB Gigabyte
Kamera Utama
108 MP (f/1.9) – (Utama)
8 MP (f/2.3) 119˚– (Sudut Lebar)
2 MP (f/2.4) – (Makro)
2 MP (f/2.4) – (B&W)
Kamera Utama
64MP (f/1.8) – (Utama)
12MP (f/2.2) – (Ultra-Lebar)
5MP (f/2.4) – (Kedalaman)
5MP (f/2.4) – (Makro)
Kamera Utama
108MP – (Utama)
8MP – (Ultra-Lebar)
5MP – (Kedalaman)
2MP – (Makro)
Kamera Hadapan
16MP (f/2.1)
Kamera Hadapan
32MP (f/2.0)
Kamera Hadapan
16MP (f/2.0)
Tidak kalis airIP67Tidak kalir air
Bicu AudioBicu audioBicu audio
Mono SpeakerStereo SpeakerStereo Speaker
4,500mAh
Pengecasan Pantas 50W
4,500mAh
Pengecasan Pantas 25W
5000mAh
Pengecasan Pantas 18W
Harga RM1299Harga RM1,499Harga Bermula RM999

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, tidak keterlaluan sekiranya saya mengatakan Realme 8 Pro ialah sebuah Realme 7 Pro tetapi dipertingkatkan dari segi penawaran kamera. Bagi saya sendiri, kalau anda seorang pengguna Realme 7 Pro sedia ada. Tiada keperluan rasanya untuk menaiktaraf kepada Realme 8 Pro.

Melainkan anda mahu rasakan bagaimana pengalaman penggunaan untuk sensor yang besar 108-Megapixel. Hal ini kerana kedua-duanya masih di takuk yang sama. Cip pemproses 720G, jenis skrin Super AMOLED yang sama, kapasiti bateri serupa dan hampir kesemuanya sama sahaja. Kelebihan pada Realme 7 Pro juga dikorbankan hanya kepada sokong kamera dengan sensor yang besar pada Realme 8 Pro.

Tetapi sekiranya anda pengguna baru atau sememangnya semua ini tidak penting bagi anda, rasanya tidak salah jika anda mahu membelinya juga. Pilihan di tangan masing-masing. Bagi yang berminat, Realme 8 Pro dijual pada harga RM1299 dan ia sudah boleh di pra-tempah hari ini sehingga 30 April kelak. Jualan pertamanya akan bermula pada 1 Mei hadapan menerusi kedai-kedai dan pengedar sah Realme di seluruh Malaysia.


Pro

  • Skrin Super AMOLED yang cantik.
  • Tiada masalah kotoran cap jari kelihatan pada panel belakang.
  • Bateri tahan lama dengan port sambungan USB-C.
  • Keupayaan kamera baik dengan mod khusus pelbagai.
  • Sistem sekuriti yang lancar sahaja.

Kontra

  • Masih cip yang sama sejak dua generasi.
  • Pengecasan lebih rendah berbanding generasi sebelum ini.
  • Gambar pada pencahayaan rendah mudah terdedah dengan hingar.
  • Tiada sokongan kadar segar semula yang tinggi.
Komen