Cari @ Amanz

Technology Park Malaysia dan juga Malaysian Global Innovation and Creativity Centre (MaGIC) adalah dua syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bertanggungjawab untuk membangunkan sektor sains dan teknologi tempatan, disamping memastikan syarikat-syarikat startup tempatan menerima dana dan bantuan yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan-perniagaan mereka.

Terkini, Khairy Jamaludin, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi hari ini mengumumkan bahawa kedua-dua syarikat ini akan digabungkan dibawah satu entiti tidak lama lagi. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Sains dan Inovasi, gabungan ini adalah untuk mengurangkan pertindihan tugas, meningkatkan kecekapan dari segi kadar pengkomersilan projek dan menambahkan perbelanjaan dari segi penyelidikan dan pembangunan projek.

Pembangunan pasukan petugas diantara MaGIC dan TPM ini adalah untuk mempercepatkan penyelidikan dan pembangunan teknologi dan inovasi baharu oleh syarikat-syarikat tempatan, dan memastikan bahawa syarikat-syarikat startup juga menerima bantuan yang sepatutnya dalam kadar yang lebih segera berbanding sekarang.

Khairy berkata bahawa dunia teknologi kini sedang berkembang dengan sangat pesat, dan langkah-langkah perlu dilakukan untuk memastikan negara tidak ketinggalan dalam tampuk kemajuan teknologi global. Ia dilaporkan bahawa Malaysia di tempat 31 daripada 131 negara di senarai Global Innovation Index 2020.

CEO Technology Park Malaysia, Dzuleira Abu Bakar dilaporkan akan mengepalai pasukan petugas ini, dimana beliau akan menggabungkan kepakaran TPM dalam membangunkan industri teknologi tempatan bersama-sama dengan kebolehan MaGIC untuk mencari dan mengenalpasti syarikat-syarikat startup tempatan yang berpotensi untuk dikomersilkan secara besar-besaran.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd