Buli siber ialah masalah dunia pertama yang wujud semenjak media sosial digunakan secara meluas. Kerap kali mesej lucah, mengancam dan berunsur makian dihantar menggunakan media sosial dari insan-insan awanama. Isu ini menjadi perhatian setelah ramai selebriti sukan mendedahkan mereka menerima mesej berunsur perkauman pada kadar yang kerap.
Sebagai antara platform media sosial yang paling popular, Instagram mengumumkan beberapa ciri baharu yang diharap dapat memudahkan pengguna mengelakkan diri dari menjadi mangsa gangguan dan buli siber. Pertama sekali mesej peribadi DM yang diterima akan ditapis oleh sistem yang mengesan kata kunci makian dan emoji yang kerap digunakan dalam mesej-mesej jelek.
Tapisan hanya akan dilakukan pada akaun yang tidak pernah menghantar mesej kepada pengguna sebelum ini. Sistem moderasi ini akan terus menghalang mesej dari memasuki ruangan DM pengguna. Bagi mengelakkan kesilapan berlaku, pengguna masih boleh mengakses mesej yang dihalang yang dikumpulkan setempat.
Seterusnya Instagram turut akan menghalang DM dari akaun yang baru sahaja dibuka. Instagram berkata secara lazimnya ini dilakukan oleh akaun baharu yang dibuka oleh insan-insan yang telah dihalang. Percubaan untuk meneruskan gangguan menggunakan akaun baharu dapat dihalang lebih pantas. Ciri ini akan diaktifkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Dengan pelbagai ciri penapisan komen, DM dan menghalang akaun ini, Instagram ini memastikan keselamatan pengguna terjamin dan tidak lagi terpaksa menyahaktifkan akaun sementara apabila mesej buli diterima bertali arus.