Seperti yang sedia maklum, konsol permainan terbaru keluaran Microsoft, Xbox Series X dan Series S dikuasakan oleh gabungan cip pemprosesan komputer dan grafik keluaran AMD, yang menggabungkan siri CPU AMD Ryzen 3000 dan juga cip grafik AMD Radeon RX 6000 yang terbaru.
Baru-baru ini, AMD telah mengumumkan bahawa sejumlah ciri daripada fungsi FidelityFX kini boleh diakses oleh pembangun permainan video untuk siri konsol tersebut. Ini termasuklah ciri-ciri seperti Image Sharpening, Variable Shading dan juga fungsi nyah-hingar ray-tracing untuk bayang-bayang.
Di masa akan datang, AMD turut mengatakan bahawa mereka akan memperkenalkan fungsi Super Resolution, yang masih belum diperkenalkan lagi pada mana-mana platform.
Secara ringkasnya, FidelityFX Super Resolution ini adalah fungsi yang sama seperti NVIDIA Deep Learning Super Sampling, dimana pengguna boleh menggunakan kuasa pemprosesan grafik untuk mengolah grafik permainan video pada resolusi yang lebih tinggi, tetapi memainkannya pada resolusi yang lebih rendah.
Ciri ini, apabila dilancarkan kelak menjanjikan pengolahan grafik yang lebih baik dan pengalaman gaming yang lebih mendalam walaupun anda hanya menggunakan paparan skrin dengan resolusi yang rendah.
Untuk gamer yang memiliki konsol Xbox Series X dan Series S, ini bermakna bahawa di masa hadapan, pengguna boleh memainkan permainan-permainan video kegemaran mereka pada tahap pengolahan grafik yang semakin menghampiri apa yang dapat dilihat pada sebuah komputer gaming berkuasa tinggi.