Cari @ Amanz

Terdahulu, Oppo telah dilaporkan bakal hadir dengan penawaran aksesori audio baharu seiring pelancaran peranti Oppo K9 kelak. Dikenali sebagai Oppo Enco Air, fon telinga ini telah tersenarai di kedai atas talian di China, JD.Com namun tidak mendedahkan rekaan padanya secara penuh.

Bagaimanapun memetik laporan terkini 91 Mobiles, rekaan penuh untuk fon telinga ini telah tertiris dalam beberapa imej tular. Ia dijumpai menerusi laman web pangkalan data NCC, namun tidak mendedahkan banyak maklumat mengenai spesifikasi.

Fon telinga ini kelak akan dilancarkan dengan nama Oppo Enco Air True Wireless Earbuds. Difahamkan, setiap fon telinga dilengkapi bateri sebesar 25 mAh dan pod pengecasnya akan menyokong pengecasan 10W.

Dari segi rekaan, fon telinga TWS ini mempunyai reka bentuk yang mirip seperti Oppo Enco Free dengan rekaan jenis fon telinga terbuka bertangkai. Bukan itu sahaja, rekaannya di sini juga dilihat mengambil inspirasi daripada Apple AirPods. Ia juga dilengkapi pod pengecas yang berbentuk bujur bersama lampu LED pada bahagian hadapan. Terdapat port USB-C pada bahagian bawah dan penjenamaan Oppo pada engsel penutup.

Menurut spekulasi awal, Oppo Enco Air True Wireless Earbuds akan dilancarkan sebagai fon telinga yang mampu milik. Ia juga dijangka akan mempunyai sejumlah ciri-ciri menarik seperti pembatalan hingar aktif, penarafan kalis air IP54, sokongan bluetooth 5.2 dan banyak lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd