Imej Pengolokan Samsung Galaxy A22 5G Tertiris – Memperlihatkan Tiga Kamera Dibelakang

Diterbitkan pada Apr 23, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Tidak dinafikan siri Samsung Galaxy A merupakan barisan peranti keluaran Samsung yang sering dibekalkan ciri premium sekaligus memberi peluang inovasi tersedia untuk khalayak ramai. Terkini, sebuah lagi peranti di bawah siri berkenaan didapati tertiris dalam beberapa imej pengolokan tular.

Imej berkenaan dikongsi oleh @onleaks di laman Voice. Jika imej pengolokan ini benar, Samsung dilihat berhasrat untuk meneruskan rekaan serba baharu mereka pada siri ini. Ia memperlihatkan Samsung Galaxy A22 dalam kemasan hitam yang menyeluruh tanpa rekaan ala-ala prism lagi.

Seterusnya, panel belakangnya terdapat modul kamera segi empat yang memuatkan tiga sensor bersama LED Flash. Spekulasi awal mengatakan ia akan dipadankan dengan sensor 48-Megapixel, 8-Megapixel dan 2-Megapixel. Kemudian, kamera hadapan pula diletakkan pada takuk yang kecil pada panel hadapan.

Turut kelihatan, peranti ini mempunyai binaan bezel yang tebal – terutamanya pada bahagian dagu. Di sebelah kanan, terdapatnya butang kuasa yang juga dipercayai menyokong fungsi imbasan cap jari. Tidak ketinggalan, Samsung turut dipercayai masih mengekalkan bicu audio 3.5mm dan port sambungan USB-C pada peranti ini.

Buat masa ini, masih tidak diketahui bilakah Samsung akan memperkenalkan peranti ini. Tambahan pula, pihak Samsung sendiri belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung peranti ini.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami