Polis Selangor kini mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sebuah sindiket penipuan baharu yang melakukan penipuan tawaran kerja sebagai ejen pembelian laman edagang Lazada.
Ejen sindiket ini menjanjikan keuntungan sebanyak 8% sehingga 15% setelah melengkapkan tugasan yang diberikan. Namun, mangsa dikehendaki membayar beberapa kos bagi membolehkan mereka memperolehi pulangan yang dijanjikan.
Menurut Polis Selangor, sindiket ini akan menghantar mesej melalui WhatsApp untuk menawarkan kerja sambilan. Mangsa seterusnya akan diminta untuk membeli beberapa barangan – dimana pembayaran dilakukan terus ke akaun sindiket tanpa melalui platform Lazada.
Sindiket ini akan menjanjikan bakal memulangkan kembali wang berkenaan – dan tujuan pembelian adalah dalam meningkatkan rating di Lazada.
Kebiasaannya, bagi tugasan pertama dan kedua, mangsa akan menerima pulangan kos yang dibayar berserta komisyen. Namun, untuk tugasan ketiga dan seterusnya, sindiket akan berdolak-dalik, dan seterusnya menghilangkan diri.
Polis Selangor mengatakan setakat 6 Februari 2021 sehingga 20 April 2021 ini, sebanyak 23 kertas siasatan telah dibuka, melibatkan kerugian mencapai RM219,271.15.
Orang ramai diminta berhati-hati ketika berurusan mencari pekerjaan sambilan, terutamanya secara atas-talian.