Carian
Aplikasi Ini Menolak Wang Dari Bank Jika Pengguna Terlajak Tidur
April 26, 2021 Effi Saharudin

Masa itu emas. Masa itu berharga. Setiap minit yang dibuang pejabat tidak berkat gaji yang diterima. Ini antara perkara yang sering kami lihat dikongsi di media sosial. Tetapi hakikatnya tidak ramai orang yang menghormati nilai masa sehingga wujudnya terma “janji Malaysia” kerana lewat ke temu janji adalah norma biasa. Jepun ialah negara yang tidak mempunyai masalah ini kerana budaya menepati masa dipandang serius.

Tetapi jika anda ingin melatih diri untuk lebih berdisiplin menepati masa, aplikasi Mezamee akan memberikan motivasi yang diperlukan. Aplikasi akan menolak wang dari bank setiap minit pengguna gagal menepati waktu yang dijanjikan. Ia menyasarkan pengguna yang sering terlajak tidur sehingga lewat ke temu janji.

Pengguna Mezamee menetapkan sendiri penalti wang yang ditolak dari akaun bermula dengan 100 Yen (~RM4). Sebelum tidur pengguna menetapkan lokasi tidur dan lokasi di mana mereka perlu berada pada jam tertentu. Sekiranya aplikasi tidak mengesan pengguna berada dalam lingkaran 100 meter dari lokasi tersebut pada waktu yang ditetapkan, wang akan ditolak.

Ini ialah aplikasi yang hanya akan digunakan oleh insan yang benar-benar komited. Pada waktu ini perkhidmatan Mezamee hanya ditawarkan di Jepun. Mungkin di Malaysia ia boleh diperkenalkan juga dengan siapa yang lewat perlu belanja makan.

Komen