Oppo akan melancarkan barisa produk baharu dalam siri K9 pada 6 Mei ini. Salah satu daripadanya adalah Oppo K9 5G. Peranti ini akan hadir dengan skrin AMOLED 6.43-inci, kamera 64MP, pengecasan pantas 65W, pilihan memori sehingga 8/256 GB dan dijana dengan Snapdragon 768G. Oppo juga mungkin akan melancarkan TWS terbaru, Enco Air pada tarikh yang sama.
Tetapi siri K9 tidak terhad kepada telefon pintar sahaja, kerana laman Weibo Oppo baru sahaja mengesahkan yang mereka turut akan melancarkan televisyen pintar dalam siri K9. Berbeza dengan Oppo TV R1 dan S1 yang lebih ke arah premium, televisyen siri K9 ini dikatakan adalah kategori premium mampu milik. Oppo Smart TV K9 adalah nama televisyen Oppo ini dan Oppo akan menawarkan tiga saiz pilihan – 43″, 55″ atau 65″.

Melalui poster yang dikongsi, semua televisyen K9 ini akan menyokong paparan HDR10+, 93% DCI-P3 gamut warna lebar, dan juga mampu menghasilkan warna yang baik dan lebih ke arah natural.
Terdapat khabar angin menyatakan yang televisyen ini turut mungkin menyokong kadar segar semula 120Hz, sokongan MEMC dan mungkin akan dijual pada harga sekitar bawah RM2000 untuk model asas. Di Malaysia, televisyen Realme sudah pun mula dijual dan Xiaomi pula baru sahaja memasuki SIRIM. Adakah Oppo akan turut serta? Sama-sama kita nantikan.