Cari @ Amanz

Tahun 2020 ialah tahun yang hanya berlaku sekali dalam satu generasi. Ia menyebabkan bukan sahaja cari hidup berubah tetapi juga cara orang ramai bekerja. Di Amanz kami juga terkesan dengan pandemik dengan rumah terpaksa diubah menjadi pejabat. Apakah impak pandemik dan bekerja dari rumah ke atas tenaga kerja global? Menurut laporan 2021 Work Trend Index oleh Microsoft, impaknya lebih besar dari yang disangka.

Laporan dilakukan dengan mengambil maklum balas dari 30,000 pekerja di 31 negara serta data yang dikumpul daripada Microsoft 365 dan LinkedIn. Antara data yang menarik ialah 73% kakitangan ingin diberikan kebebasan untuk terus bekerja dari rumah pasca pandemik. Akibatnya 66% pengurus berkata mereka kini memikir untuk mengubah ruang pejabat bagi memberi ruang kepada pekerja hibrid yang tidak ke pejabat setiap hari.

Masa yang dihabiskan untuk mesyuarat minggu pula adalah 148% lebih tinggi berbanding setahun lalu. Malahan data menunjukkan jumlah pengguna Microsoft Teams meningkat 250% di peringkat global. Mesyuarat juga secara purata 10 minit lebih panjang dan 40.6 bilion lebih banyak emel dihantar pada Februari 2021 berbanding Februari 2020 terutamanya di sektor pendidikan dan komersial. Lebih merisaukan walaupun data menunjukkan peningkatan produktiviti, tenaga kerja secara majoritinya mengalami kepenatan.

Kakitangan secara majoritinya berkata mereka mengalami kesukaran untuk bekerja . Sebanyak 67% pekerja bujang, 64% pekerja baru dan 60% pekerja dari Generasi Z mengatakan mereka mengalami kesukaran. Menarik juga data menunjukkan Generasi Z yang paling terbuka untuk mengaku mereka mengalami kesukaran di tempat kerja berbanding generasi Boomers.

Sepanjang tempoh bekerja dari rumah, data menunjukkan setiap pasukan hanya berhubung antara satu sama lain sehingga mendatangkan impak negatif ke atas inovasi yang memerlukan perbincangan antara pasukan di tempat kerja.

Bagi majikan ada lagi berita buruk dalam laporan iaitu 41% kakitangan berfikir untuk bertukar kerja pada tahun 2021 dengan 46% lagi berfikir untuk melakukan perubahan besar dalam kerjaya. Kebebasan bekerja di rumah tahun lalu memberikan keyakinan bahawa mereka boleh bekerja sendiri. Untuk laporan lebih mendalam 2021 Work Trend Index, sila ke pautan di bawah.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd