Ada yang mengatakan permainan video tidak cukup seni untuk memenangi sebarang anugerah. The Last of Us misalnya mempunyai naratif yang lebih kemas berbanding kebanyakan filem tetapi tidak layak menangi Oscar. Mendiang Roger Ebert pernah menulis sebuah esei bertajuk “Video Games Can Never Be Art” pada tahun 2010. Selepas 11 tahun esei ditulis dan 8 tahun selepas kemangkatan raja pengulas filem tersebut, kucing bertanduk dan sebuah “permainan video” telahpun memenangi Oscar.
Di acara Oscar pagi tadi, Colette telah memenangi anugerah dokumentari pendek terbaik 2020. Dokumentari 25 minit dihasilkan untuk permainan video realiti maya Medal of Honor: Above and Beyond dan diarahkan oleh Anthony Giacchino. Kemenangan Colette hari ini bersejarah kerana ia menjadi kandungan pertama yang diterbitkan oleh sebuah studio permainan video iaitu Oculus dan Respawn Entertainment. Dokumentari pendek dihasilkan untuk permainan realiti maya ini bagi menceritakan pengelaman sebenar ketika Perang Dunia Kedua
Dokumentari berkisar Colette Marin-Catherine, seorang bekas penentang penjajahan Nazi di Perancis ketika Perang Dunia Kedua. Lawatan beliau ke kem tahanan Mittelbau-Dora di mana abang beliau terbunuh menjadi subjek utama dokumentari. Walaupun telah memenangi Oscar dan dihasilkan untuk permainan video komersial, ia boleh ditonton percuma di YouTube hari ini.