Cari @ Amanz

TSMC Menjangkakan Permintaan Untuk Cip Pemprosesan 5nm Akan Terus Meningkat – Pengilangan Proses 4nm Dan 3nm Akan Mula Beroperasi Pada 2022

Oleh Nazrin

Link Copied!

Taiwan Semiconductor Manufacturing Company, ataupun TSMC boleh dikatakan diantara syarikat-syarikat berkaitan teknologi yang paling penting di dunia sekarang, khususnya kerana ia kini satu-satunya syarikat yang mampu mengilangkan cip-cip pemprosesan menggunakan proses maju seperti 5nm yang diperlukan oleh syarikat-syarikat seperti Apple, Qualcomm dan sebagainya.

TSMC menjangkakan bahawa pada tahun ini, pengilangan cip menggunakan proses 5nm akan terus meningkat, khususnya kerana pelbagai syarikat teknologi sudahpun menyiapkan rekaan cip pemprosesan mereka sendiri, dan akan mahu mengilangkannya untuk peranti-peranti mereka dengan kadar segera.

Ia dijangka bahawa TSMC akan melaburkan sebanyak $30 bilion untuk menaiktarafkan kilang-kilang mereka untuk memenuhi permintaan 500 pelanggan mereka, termasuklah untuk membangunkan fasiliti pengilangan baru menggunakan proses 4nm dan 3nm.

Seperti yang dikatakan sebelum ini, proses 5nm akan memperlihatkan peningkatan permintaan tertinggi, dan oleh itu, salah satu daripada keutamaan mereka ialah untuk menaiktarafkan proses pengilangan tersebut, yang dijangka akan meningkat kepada 120,000 wafer starts per month (permulaan proses wafer setiap bulan) pada penghujung tahun ini.

Dalam pada itu, tidak dilupakan juga bahawa TSMC akan memperkenalkan proses pengilangan 4nm pada separuh kedua tahun ini, manakala pengilangan menggunakan proses 3nm akan bermula sekitar suku ketiga pada tahun 2022.

Untuk kedua-dua proses ini, ia dilihat penaiktarafan berkadar langsung berbanding dengan proses 5nm, yang menjanjikan penambahan prestasi, disamping penggunaan kuasa yang kurang lebih sedikit, menjadikannya lebih cekap.

Untuk kedua-dua proses ini, ia dijangka sekali lagi bahawa Apple dan Qualcomm akan memanfaatkan penggunaan proses 4nm dan 3nm ini untuk cip-cip pemprosesan mereka kelak, khususnya Apple yang sebelum ini dilihat memonopoli proses pengilangan cip pemprosesan 5nm selepas kontrak TSMC dengan Hisilicon, syarikat cip pemprosesan Huawei ditamatkan.

Kedua-dua syarikat ini juga adalah diantara syarikat pertama yang hadir dengan cip pemprosesan 5nm apabila proses tersebut mula diperkenalkan oleh TSMC.

Buat masa ini, isu bekalan cip pemprosesan dilihat masih lagi cukup teruk khususnya kerana proses pengilangan cip-cip ini boleh dilakukan oleh satu syarikat sahaja. Seperti yang dilaporkan sebelum ini, isu ini dijangka hanya akan diperbaiki sekitar penghujung 2022 ataupun awal 2023 kelak.

Bagi TSMC, ini adalah satu masalah yang dilihat tidak terlalu teruk membelenggu mereka kerana ia bermakna bahawa banyak syarikat-syarikat di dunia yakin akan kualiti cip pemprosesan yang dikeluarkan mereka.


Komen ()