Carian
Redmi K40 Game Enhanced Edition Kini Rasmi Dengan Dimensity 1200 Dan Butang Bahu Fizikal
April 27, 2021 Effi Saharudin

Peranti untuk permua Redmi K40 Game Enhanced Edition telah dilancarkan sebentar tadi. Walaupun berkongsi nama dengan K40, ia sebenarnya peranti yang amat berbeza dengan pelbagai ciri tambahan yang membuatkannya menjadi antara peranti untuk permua yang menarik pernah dihasilkan.

Dari segi spesifikasi ia dilengkapi skrin 6.67″ FHD+ dengan kadar segar semula 120Hz, dijana cip MediaTek Dimensity 1200, memori sebesar 12GB, storan sehingga 256GB dan bateri sebesar 5065 mAh. Bateri ini menyokong pengecasan pantas 67W menerusi port USB-C. Unik sekali mengenai pengecas peranti ini ialah ia mempunyai kapel sambungan huruf L yang membolehkan peranti dicas ketika sesi permua. Walaupun ia peranti untuk permua, ia masih melepasi piawaian kalis air serta debu IP53. Sesuatu yang amat jaang sekali pada peranti kelas ini.

Spesifikasi kamera pula adalah 64+8+2 Megapixel dengan kamera swafoto pula sebesar 16 Megapixel. Kamera utama ini menggabungkan sensor sudut lebar, ultra sudut lebar dan makro. Redmi tidak melakukan perubahan yang besar pada kamera peranti ini berbanding K40 biasa selain sokongan lampu RGB dan lensa flash yang berbentuk petir.

Kerana ia sebuah peranti untuk permua, dua butang bahu fizikal disertakan untuk memberikan kawalan lebih jitu dalam permua. Sistem penyejukan cecair pula memastikan peranti sejuk sepanjang masa. Selain itu peranti turut dilengkapi pembesar suara yang ditala oleh JBL. Sistem operasi Android 11 digunakan bersama dengan pelancar MIUI 12.5.

Di China Redmi Game Enhanced Edition akan mula dijual bermula 30 April pada harga di bawah. Sebuah versi khas Bruce Lee juga ditawarkan dalam warna kuning serta hitam dengan latar belakang wajah pelakon ternama Hong Kong ini.

  • 8GB+128GB – RMB 2,199 (~RM 1389)
  • 8GB+256GB – RMB 2,399 (~RM 1515)
  • 12GB+128GB – RMB 2.399 (~RM 1515)
  • 12GB+256GB – RMB 2,699 (~RM 1704)
  • 12GB+256GB Bruce Lee – RMB 2,799 (~RM 1768)
Komen