Microsoft hari ini telah mengumumkan penyata kewangan bagi suku berakhir 31 Mac 2021 lepas. Bersama-sama perkongsian berkaitan kedudukan kewangan, Microsoft turut mengumumkan yang mana kini Windows 10 mempunyai lebih 1.3 bilion peranti aktif setiap bulan.
Ini memperlihatkan Microsoft menambah sekitar 300 juta peranti baharu Windows 10 dalam tempoh setahun lepas.
Penambahan ini berkemungkinan besar disebabkan oleh pandemik yang memerlukan ramai bekerja dan belajar dari rumah – sekaligus membuatkan ramai mendapatkan peranti baharu untuk tujuan berkenaan.
Dengan angka yang tinggi ini, semestinya ekosistem Windows adalah salah satu ekosistem yang akan menjadi tumpuan ramai pembangun dalam menawarkan perisian masing-masing.
Selain Windows 10, Microsoft turut mengatakan kini Office 365 mempunyai sekitar 300 juta pengguna berbayar di seluruh dunia.