Cari @ Amanz

AORUS ialah sub-jenama GIGABYTE yang biasanya hadir dengan komponen, kelengkapan dan aksesori komputer yang dibina khusus untuk industri gaming. Jika sebelum ini kita biasa melihat mereka memperkenalkan papan induk dan kad grafik gaming, mereka kiini mempunyai paparan skrin gaming juga yang hadir dengan sejumlah ciri-ciri yang cukup menakjubkan.

Dinamakan siri AORUS 4K, mereka memperkenalkan tiga buah model dengan saiz berbeza, termasuklah model AORUS 4K FI32Q yang bersaiz 32 inci, AORUS 4K FV43U yang bersaiz 43 inci dan juga FO48U yang bersaiz 48 inci. Bergantung kepada saiz paparan, AORUS 4K ini menggunakan panel Super IPS ataupun Quantum Dot OLED dengan resolusi 4K dan mempunyai kadar segar semula 144Hz.

Bukan itu sahaja, paparan skrin ini juga mempunyai kecerahan 1000nit dan hadir dengan sokongan untuk teknologi HDR dan mempunyai persijilan HDR1000 yang menyokong kandungan HDR. Jika anda mementingkan kejituan warna, dan mahu menggunakan paparan ini untuk tujuan produktiviti seperti rekaan dan penyuntingan video, ia juga hadir dengan gamut warna DCI-P3 97 peratus.

Dalam pada itu, paparan skrin AORUS 4K ini hadir dengan dua palam HDMI 2.1 yang menyokong fungsi terbaru konsol PlayStation 5 dan Xbox Series X, iaitu menggerakkan permainan pada resolusi 4K dan juga kadar segar semula 120Hz. Ini termasuklah dengan sejumlah pilihan I/O yang lain seperti palam USB 3.2 Type-A, USB 3.2 Type-C, palam audio 3.5mm untuk pembesar suara dan juga mikrofon bersama-sama dengan palam DisplayPort.

Untuk mereka yang lebih menggemari setup minimalis, paparan AORUS 4K ini juga hadir dengan sistem pembesar suara terbina yang dinamakan AORUS Space Audio.

Menurut GIGABYTE Malaysia, dua daripada tiga model paparan skrin AORUS 4K ini sudahpun mula dijual di Malaysia. Ia termasuklah paparan AORUS 4K FI32Q yang dijual pada harga RM3599 dan AORUS 4K FV43U yang dijual pada harga RM4899. Model 48 inci, AORUS 4K FO48U belum memasuki pasaran tempatan lagi buat masa ini, tetapi ia dijangka akan tiba tidak lama lagi.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai siri paparan AORUS 4K ini, anda boleh ke laman web AORUS di sini.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd