Carian
Pewaris Samsung Akan Membayar Cukai Harta Pusaka Mencecah 12 Trilion Won
April 28, 2021 Effi Saharudin

Lee Kun-hee ialah pengerusi Samsung semasa beliau meninggal dunia pada 25 Oktober tahun lalu. Beliau yang merupakan anak kepada pengasas Samsung adalah individu terkaya Korea Selatan dengan nilai harta mencecah $23.4 bilion (~RM96 bilion). Selepas kematian beliau, timbul spekulasi apakah yang akan berlaku kepada harta beliau memandangkan Korea Selatan mengenakan cukai harta pusaka pada kadar 50%.

Lee Kung Hee – Wikipedia Commons

Soalan ini terjawab hari ini apabila waris Lee Kun-Hee mengumumkan mereka akan membayar 12 trilion Won (~RM 44 bilion) kepada kerajaan dalam tempoh lima tahun. Waris Lee akan membayar cukai ini menggunakan dividen yang diterima menerusi saham yang dipegang oleh mendiang dan ahli keluar di dalam beberapa syarikat. Dengan ini pegangan saham Samsung yang dimiliki keluarga Lee tidak akan terjejas. Cukai harta pusaka yang dikutip dari keluarga Lee adalah yang tertinggi pernah dikutip dalam sejarah negara tersebut.

Pewaris Lee juga menderma 1 trilion Won (~RM 3.68 bilion) yang akan digunakan untuk tujuan kesihatan dan perubatan. Dari nilai ni 500 bilion Won akan digunakan untuk membina hospital pakar penyakit berjangkit pertama Korea Selatan. Sementara itu koleksi 23,000 barangan seni beliau pula akan didermakan kepada muzium negara dan organisasi tempatan bagi memastikan ia kekal di Korea Selatan. Antara yang dikumpul ialah lukisan oleh Picasso.

Komen