Cari @ Amanz

Beberapa tahun yang lalu terdapat teori mengatakan sinar biru dari skrin peranti menyebabkan pengeluaran hormon Melatonin yang mengawal ritma sirkadian tubuh manusia terganggu sehingga sukar untuk tidur. Teori peranti menyebabkan gangguan tidur mula menjadi popular sehingga banyak pengeluar mula menawarkan ciri menuras sinar biru seperti Apple Night Shift dan Samsung Blue light filter lima tahun lalu.

Tetapi kajian terkini penyelidik dari Brigham Young University dan Cincinnati Children’s Hospital Medical Center mendapati penuras sinar biru sebenarnya tidak mendatangkan sebarang kesan positif kepada waktu tidur, masa tidur dan selepas bangkit dari tidur.

Kajian melibatkan 167 subjek yang di bahagian kepada tiga kumpulan. Kumpulan pertama menggunakan telefon dengan penuras sinar biru sebelum tidur, kumpulan kedua menggunakan telefon tanpa penuras sebelum tidur dan kumpulan terakhir tidak menggunakan peranti sebelum tidur.

Tiada perbezaan ketara dapat dilihat di antara ketiga-tiga kumpulan dalam ujian yang dilakukan. Oleh itu kajian menunjukkan pengguna tidak perlu mengaktifkan mod malam yang menyaring cahaya biru jika ingin mendapatkan tidur yang baik.

© 2023 Amanz Media Sdn Bhd