Carian
Samsung Galaxy Book Pro 360 Dilancarkan Dengan Skrin AMOLED, Intel Generasi 11 Dan Sokongan S Pen
April 28, 2021 Effi Saharudin

Samsung telah melancarkan komputer riba terkini mereka sebentar tadi iaiatu Samsung Galaxy Book Pro 360 . Komputer riba ini hadir dengan kemasan yang premium dan skrin yang boleh diputar 360 darjah serta pemproses terkini keluaran Intel.

Dua model dilancarkan iaitu Samsung Galaxy Book Pro 360 15 dan Samsung Galaxy Book Pro 360 13 masing-masing dengan skrin sesentuh AMOLED 15.6″ dan 13.3″ beresolusi FHD yang boleh diputar 360 darjah bagi mengubahnya menjadi sebuah tablet. Memperkasakan komputer riba ini ialah pemproses Intel Core i3/i5/i7 generasi ke-11 dan grafik terbina Intel Iris Xe atau Intel UHD Graphics. Sebagai model premium berkuasa, RAM sehingga 32GB ditawarkan dengan storan sehingga 1TB NVMe SSD.

Dengan pengguna pemproses generasi ke-11 ini, komputer riba yang bukan sahaja pantas tetapi juga menawarkan hayat bateri yang laman dapat ditawarkan. Pada model 13″ sokongan 5G dapat dinikmati menerusi kad SIM bersaiz nano. Pada model 15″ pula sokongan WiFi 6E disertakan untuk mendapatkan kelajuan Internet nirwayar terpantas.

Skrin sesentuh kedua-dua model juga menyokong stylus S-Pen cuma tanpa tempat simpanan terbina seperti peranti Galaxy Note. Dengan ini lakaran dapat dilakukan terus pada skrin seperti sebuah tablet. Melengkapi rekaan ialah pengimbas cap jari yang terbina pada butang kuasa. Pilihan I/O pula adalah 1x Thunderbolt 4, 2x USB-C, 1x bicu audio 3.5mm dan pembaca kad mikro SD. Dengan Thunderbolt 4, monitor sehingga resolusi 8K boleh disambungkan tanpa masalah. Sebuah tablet Android Samsung turut boleh dijadikan monitor sekunder menerusi ciri Second Screen.

Papan kekunci Pro Keyboard pula dikemaskini dengan mekanisme gunting yang menawarkan travel yang rendah tetapi masih memberikan keselesaan semasa menaip. Kedudukan papan kekunci diubah lebih ke atas bagi memberi ruang kepada pad sesentuh yang lebih besar berbanding model Galaxy Book terdahulu.

Bateri yang disertakan pula adalah sehingga 68Wh yang boleh dicas semula menggunakan port UBS-C. Samsung menjanjikan penggunaan sehingga 20 jam menonton video atau 16 jam melakukan kerja. Dengan pengecasan 30 minit sahaja, hayat bateri sehingga 8 jam boleh dinikmati. Ini mampu dilakukan kerana pengecas 65W menggunakan teknologi GAN. Pengecas ini turut serasi digunakan dengan kesemua peranti pintar Samsung yang lain.

Walaupun cukup berkuasa, ketebalan adalah hanya 11.9mm dengan berat pula di bawah 1.4 kilogram. Keseluruhan tubuh komputer riba Windows 10 Pro/Home ini diperbuat daripada bahan aluminium siri 6000. Yang kami rasakan aneh ialah spesifikasi kamera masih lagi sekadar 720P yang canggung di dunia di mana kamera beresolusi lebih tinggi telah lama ditawarkan untuk komputer riba.

Menerusi kerjasama dengan Microsoft, integrasi Your Phone dapat dilakukan dengan peranti Android terutamanya siri Galaxy keluaran Samsung. Tidak berakhir di sini, komputer riba juga menyokong ekosistem SmartThing yang membolehkan ia mengawal sistem peranti berhubung Samsung. Dengan kata lain lampu, televisyen, peti sejuk dan pendingin hawa boleh dikawal terus dari sebuah komputer riba Windows. Sokongan Smart Switch juga akhirnya ditawarkan kepada komputer riba Windows 10 buat pertama kali. Pemindahan data dari komputer riba Windows 10 ke Galaxy Book menjadi semudah pada peranti Galaxy.

Samsung Galaxy Book Pro 360 15 dan Samsung Galaxy Book Pro 360 13 ditawarkan dalam warna Mystic Navy, Mystic Silver dan Mystic Bronze pada harga bermula dari $1200 (~RM4917) sebuah.

Komen