Cari @ Amanz

Google Assistant ialah pembantu maya yang saya gunakan setiap hari kerana ia yang paling pantas dan mudah digunakan berbanding Siri. Sungguhpun sudah wujud selama hampir 9 tahun (bermula dari Google Now), Assistant masih mempunyai masalah menyebut nama saya dengan betul terutamanya nama bapa. Saharudin disebut Sharudeen kerana Assistant menggunakan sebutan Bahasa Inggeris. Berita baik bagi pengguna nama asyik disebut dengan salah ialah Assistant kini boleh dilatih untuk menyebut nama dengan betul.

Pembantu maya boleh dilatih menyebut nama dengan betul selepas mendengar cara sebutan yang diberikan oleh pengguna. Ini dilakukan menerusi aplikasi Contact dalam peranti Android. Pilihan baharu Record your own akan dipaparkan pada skrin kontak setiap individu di dalam buku alamat peranti. Ini bermakna selain nama anda sendiri, nama saudara, rakan dan kedai juga dapat dilatih untuk disebut dengan betul oleh Asssitant selepas ini. Melakukan arahan suara untuk menelefon menjadi lebih mudah.

Selain sebutan nama yang lebih tepat, Assistant juga lebih bijak memahami konteks. Contoh yang diberikan ialah memahami arahan meletakkan pemasa dan tambahan kepada pemasa kedua. Kemudian apabila disuruh untuk memberitahu jumlah masa yang tinggi Assistant akhirnya boleh memberikannya kepada pengguna. Menurut Google ciri baharu Assistant ini akan diberikan kepada semua pengguna dalam masa beberapa hari sahaja lagi.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd