Cari @ Amanz

Kerajaan Taiwan Mengharamkan Pengiklanan Jawatan Kosong Dari Syarikat-Syarikat Di China

Oleh Nazrin

Link Copied!

Selepas sejumlah besar sekatan ekonomi dan teknologi yang dilakukan keatas China, kerajaan tersebut kini dilihat mahu melestarikan sektor pembuatan teknologi mereka, khususnya dalam industri pembuatan cip pemprosesan mereka.

Untuk itu, kerajaan China dilihat memburu jurutera-jurutera semikonduktor dari Taiwan yang rata-ratanya pakar dalam industri pembuatan silikon dan semikonduktor untuk mempercepatkan proses tersebut. Kerajaan Taiwan, yang tidak terlalu gembira mengenai perkara ini baru-baru ini telah melakukan langkah mengejut dengan mengharamkan pengiklanan jawatan kosong untuk syarikat-syarikat yang berasas dari China.

Kementerian Buruh kerajaan Taiwan telah mengeluarkan arahan kepada pengiklan jawatan dan juga syarikat-syarikat di Taiwan bahawa mereka tidak dibenarkan mengiklan jawatan yang memerlukan rakyat Taiwan untuk berpindah ke China, khususnya untuk industri teknologi dan juga pembangunan silikon dan semikonduktor.

Mereka mengatakan bahawa syarikat-syarikat pengiklanan kerja yang mengingkari arahan ini boleh disaman, dan jika jawatan yang diiklankan adalah untuk sektor pembuatan silikon dan semikonduktor, khususnya, nilai saman tersebut akan meningkat dengan lebih tinggi dari yang biasa.

Laporan dari Nikkei Asia mengesahkan bahawa Kementerian Buruh Taiwan telah mengeluarkan arahan tersebut, dan salah satu daripada syarikat pengiklanan kerja di Taiwan, 104 Jobs mengesahkan bahawa pada platform mereka, jumlah iklan kerja untuk jawatan berasas di China pada platform tersebut telah menurun dari 3774 ke 1872 pekerjaan dalam masa sehari sahaja.

Undang-undang baru ini bukan sahaja dikenakan keatas syarikat-syarikat luar negara yang beroperasi di Taiwan dan China, tetapi juga syarikat-syarikat yang berasal dari Taiwan sendiri. Contoh terbesar ialah Foxxcon, syarikat memasang peranti yang paling dikenali ramai.

Foxconn dilaporkan perlu menurunkan semua iklan kerja mereka untuk jawatan-jawatan di kilang-kilang China, dan menaikkannya satu-persatu selepas menerima pengesahan daripada pihak kerajaan Taiwan. Langkah ini boleh dilihat sebagai sesuatu yang drastik, tetapi perlu sekiranya mereka mahu mengelak daripada disaman oleh kerajaan Taiwan.


Komen ()