Facebook : 5 Corak Tingkah Laku Pengguna Berbelanja Dalam Menyambut Kedatangan Syawal

Diterbitkan pada Mei 3, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Nampaknya, sekali lagi sambutan Syawal pada tahun ini diraikan dalam situasi yang mencabar ekoran penularan Covid-19 yang semakin meruncing. Namun demikian, tidak dinafikan orang ramai seperti tidak mahu melepaskan peluang untuk membeli-belah di saat akhir untuk persiapan Syawal yang bakal tiba.

Ada yang membeli-belah secara fizikal. Dalam pada itu, tidak kurang juga terdapat pihak lebih cenderung untuk berbelanja secara atas talian. Selari dengannya, satu kajian tinjauan telah dijalankan oleh Facebook dengan kerjasama The YouGov bagi membantu para peniaga untuk memahami corak tingkah laku pelanggan yang berbelanja ketika musim Ramadan ini.


1) Permintaan Tinggi Untuk Pengalaman Beli Belah Yang Selamat

Menurut Facebook, kira-kira 59% daripada rakyat Malaysia lebih memilih untuk membeli-belah secara atas talian berbanding pergi ke kedai kerana ianya lebih selesa. Sehubungan itu, peniaga perlu bijak merangka strategi pemasaran dengan mengenal pasti keperluan serta kehendak pelanggan. Pada masa sama, peniaga juga perlu memudahkan pelanggan melakukan proses pembelian dengan mewujudkan pengalaman membeli-belah atas talian yang lebih baik. Ini termasuklah penggunaan saluran-saluran komersial di Facebook seperti Facebook atau Instagram Shops dan WhatsApp for Business.

Facebook Shops

2) Pencipta Kandungan Turut Sama Memberi Pengaruh Yang Baik

Percaya atau tidak, pencipta kandungan atau rakan kongsi mampu memberi pengaruh yang baik kepada pelanggan. Ini adalah berdasarkan kepada kajian dan tinjauan yang dilaksanakan oleh Facebook sendiri. Di mana, separuh daripada responden mengaku mempercayai pencipta kandungan bagi mendapatkan gambaran yang tepat mengenai produk sebelum membeli atau membuat sebarang transaksi.

Instagram IGTV

Jadi boleh dikatakan, rakan kongsi atau pencipta kandungan sememangnya memainkan peranan sangat penting dalam memberi inspirasi kepada khalayak ramai. Tapi pada masa sama, setiap peniaga juga memerlukan cara tersendiri bagi mempromosi produk mereka – misalnya mencuba teknik kandungan video mudah alih berbentuk panjang menerusi IGTV. Sebagai alternatif, kaedah lain seperti siaran langsung video di Facebook atau Instagram juga boleh digunakan.


3) Penggunaan Teknologi Digital

Menurut tinjauan itu lagi, kebanyakan responden juga  menghabiskan terlalu banyak masa dengan telefon pintar. Melaluinya, kira-kira 80% daripada mereka menggunakannya ketika menonton televisyen. Sehubungan itu, peniaga perlulah bijak mengambil peluang yang ada bagi mengembangkan perniagaan. Pada masa sama, peniaga perlu berfikiran kreatif dengan mencari jalan bagi mendekatkan lagi perniagaan mereka dengan khalayak ramai. Misalnya, mereka boleh menggunakan aplikasi dan media sosial sebagai urusan perniagaan – contohnya seperti WhatsApp Business.

WhatsApp Business

4) Ketahui Waktu Puncak Orang Ramai Berbelanja

Tidak dinafikan, masih ramai yang dilihat tidak mahu melepaskan peluang membeli-belah untuk persiapan Syawal masing-masing. Dengan Ramadan yang berbaki kurang sepuluh hari sahaja ini, orang ramai mula sibuk membuat pelbagai persiapan termasuklah mencari pakaian, kasut dan barangan tertentu untuk digayakan dengan cantik nanti. Inilah satu-satunya waktu puncak atau waktu terbaik di mana orang ramai akan membeli-belah. Buat para peniaga, mereka nampaknya boleh memanfaatkan waktu dan peluang ini bagi mempromosikan produk-produk dengan lebih efektif. Di samping, penawaran potongan harga yang berganda turut membantu dalam menarik perhatian para pelanggan.


5) Peka Terhadap Penawaran Harga Semasa

Pelanggan kini semakin peka terhadap penawaran harga. Hasil tinjauan juga mendapati, 75% daripada responden akan menggunakan aplikasi Facebook sebagai platform untuk mencari pelbagai tawaran dan promosi yang menarik.

Dengan ini, peniaga boleh membuat penawaran menarik dengan cara menghubungkan aplikasi Facebook dan Instagram Stories secara terus. Ia secara tidak langsung, penawaran produk dan penjualan akan lebih efektif. Pada masa yang sama, peniaga juga boleh menunjukkan sokongan terhadap rakan kerjasama sendiri menerusi ciri Collaborate Ads yang menyokong perniagaan global dan tempatan.


Sebagai kesimpulannya, para peniaga seharusnya peka dengan perubahan yang berlaku di persekitaran dan bertindak segera bagi memajukan perniagaan masing-masing. Dalam pada itu, para peniaga juga perlu berani untuk mengambil risiko atau mencuba sesuatu yang baharu bagi menjadikan perniagaan lain daripada yang lain.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami