Cari @ Amanz

Sebelum ini kami pernah melaporkan bahawa pembangun komputer Lenovo telah memperkenalkan siri kad grafik AMD Radeon RX 6000 mereka sendiri untuk digunakan dalam sistem-sistem komputer gaming mereka.

Terkini, nampaknya Dell turut mempekenalkan siri kad grafik mereka juga, menggunakan siri kad grafik yang sama. Melalui Reddit, Dell nampaknya akan memperkenalkan model Dell Radeon RX6800 XT, iaitu kad grafik berdasarkan AMD Radeon RX6800XT yang diperkenalkan pada penghujung tahun lepas.

Kad grafik Dell ini hadir dengan tiga kipas penyejuk, hampir sama seperti apa yang ditawarkan oleh Lenovo, tetapi mempunyai rekaan penutup kad yang sedikit berbeza. Ia hadir dengan plat belakang untuk menutup bahagian PCB dan juga untuk menyokong kad grafik tersebut supaya ia tidak kendur akibat masa apabila dipasang.

Dari segi spesifikasi dalaman, ia tampak hadir sama seperti kad grafik AMD Radeon RX 6800XT sedia ada. Jangkaan kami ialah kad grafik ini ditawarkan melalui komputer desktop gaming Alienware Aurora Ryzen Edition R10 yang hanya ditawarkan di pasaran-pasaran tertentu seperti Amerika Syarikat.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd