Cari @ Amanz

INFINIX, bagi mereka yang tidak mengenali jenama ini ialah sebuah jenama pembuat peranti yang berasal dari Hong Kong. Mereka menawarkan peranti-peranti pintar pada tanda harga mampu-milik sesuai untuk anak-anak ataupun mereka yang mahukan sebuah peranti sekunder untuk merumahkan kad SIM tambahan.

Jenama tersebut kini baru sahaja hadir di pasaran tempatan, dan sudah mula dijual di laman atas-talian mereka sendiri melalui Shopee. Tiga model yang ditawarkan buat masa ini termasuklah INFINIX Smart 5, INFINIX HOT 10 dan INFINIX Note 8.

Bermula dengan INFINIX Smart 5, peranti pintar ini dilengkapi dengan paparan skrin bersaiz 6.6 inci dengan resolusi Full HD+ dan dikuasakan CPU MediaTek Helio A20, memori 2GB dan storan 32GB yang boleh dilanjutkan menggunakan MicroSD. Dari segi penawaran kamera pula, ia hadir dengan sistem tri-kamera 18MP di bahagian belakang dan juga kamera swafoto 8MP.

Ia hadir dengan sistem operasi Android 10 Go Edition, dan dilengkapi dengan bateri 5000mAH yang boleh dicas menggunakan palam Micro-USB. Ia juga mempunyai pengimbas cap jari di bahagian belakang peranti.

INFINIX Smart 5 ditawarkan di Shopee pada harga RM309.

Beralih kepada INFINIX HOT 10 pula, ia hadir dengan paparan bersaiz 6.78 inci dengan resolusi 1640×720, dan dikuasakan oleh CPU MediaTek Helio G70, pilihan memori sehingga 6GB dan pilihan storan dalaman sehingga 128GB.

Dari segi penawaran kamera, INFINIX HOT 10 hadir dengan sistem kuad-kamera 16MP dan kamera swafoto 8MP. Peranti ini turut hadir dengan bateri bersaiz 5200mAH yang sangat besar sekali, dan dicas menggunakan palam MicroUSB. Ia juga mempunyai pengimbas cap jari di belakang peranti.

Peranti ini hadir dengan sistem operasi Android 10 dan antaramuka XOS 6.0 dan hadir dengan ciri-ciri tambahan seperti Game Mode Mobile yang memastikan peranti anda beroperasi pada tahap optimum apabila bermain permua.

INFINIX HOT 10 ditawarkan dalam dua model dengan tiga pilihan warna; Black, Ocean Wave dan Moonlight Jade:

INFINIX Note 8 pula ialah peranti INFINIX yang paling berkuasa setakat ini. Ia hadir dengan paparan bersaiz 6.95 inci dengan resolusi 720×1640 dan dikuasakan oleh CPU MediaTek Helios G80, memori 6GB dan storan sebesar 128GB, digerakkan menggunakan sistem operasi Android 10.

Dari segi penawaran kamera, INFINIX Note 8 ini hadir dengan sistem kuad-kamera 64MP dan kamera swafoto 16MP. Sama seperti INFINIX HOT 10, ia mempunyai bateri 5200mAH, tetapi boleh dicas menggunakan kabel USB Type-C, dan hadir dengan sistem pengecasan pantas 18W.

INFINIX Note 8 ini ditawarkan dalam dua jenis rekaan warna, iaitu Silver Diamond dan Deepsea Luster pada harga RM599.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd