Pedang cahaya Lightsaber ialah antara senjata fiksyen sains yang paling dikenali setanding dengan Laser Sebit Space Cop Gavan. Sejak muncul pertama kali di dalam filem Star Wars A New Hope pada tahun 1977, pelbagai usaha dilakukan untuk merealisasikan pedang kesateria Jedi ini.
Impian menjadikannya “realiti” semakin hampir selepas Disney Parks memperlihatkan prototaip pertama Lightsaber yang dihasilkan untuk pengunjung Walt Disney World Resort hari ini. Pedang cahaya ini boleh digunakan khusus untuk pengunjung Star Wars: Galactic Starcruiser yang akan dibuka pada tahun 2022.

Menerusi tarikan terkini ini, mereka boleh menikmati pelayaran selama dua hari di dalam sebuah kapal angkasa secara olok-olok tetapi dengan pengalaman sebenar. Pengunjung akan menjalani proses mendaftar, masuk ke dalam kapal angkasa, makan, tidur dan berinteraksi dengan pelayan yang berlakon seperti berada di dalam sebuah kapal persiaran angkasa lepas sebenar.

Dengan Lightsaber yang dibangunkan oleh Walt Disney Imagineering Research and Development ini pengujung juga dapat memenuhi impian menjalani latihan menjadi Jedi. Star Wars: Galactic Starcruiser ialah percubaan Disney untuk memberikan pengalaman imersif pertama mereka yang berbeza dengan tarikan lain yang boleh dinikmati dala masa beberapa minit sahaja.
Disney tidak berkongsi bagaimanakah Lightsber ini berfungsi tetapi menurut The Verge ia mempunyai elemen lampu LED yang bergulung seperti pita pengukur besi. Bahagian bilah pedang akan naik dengan turun untuk kelihatan seperti Lightsaber sebenar cuma tidak boleh membunuh.