Google baru-baru ini mula mengedarkan kemaskini tampalan sekuriti bulan Mei 2021 untuk peranti Pixel 3 XL, Pixel 3a XL, Pixel 4 XL, Pixel 4a, PIxel 4a 5G dan juga Pixel 5. Tetapi sebarang log perubahan ciri atau fungsi baru tidak dikongsi selain daripada informasi mengenai menampal kerentanan sekuriti dan membaiki pepijat. Peranti Pixel lain yang masih disokong Google akan menerima kemaskini ini dalam masa terdekat.
Serentak dengan kemaskini untuk Google Pixel, Samsung turut mula mengedarkan kemaskini baharu kepada pengguna siri Galaxy S21 di Eropah. Melalui versi G99xBXXU3AUDA, peranti-peranti Galaxy S21 perlu memuat turun fail sebesar sekitar 1.2GB untuk kemaskini ini. Seperti Pixel, peranti Samsung ini juga menerima tampalan sekuriti bulan Mei 2021. Selain itu, Samsung turut meningkatkan lagi prestasi aplikasi kamera pada peranti-peranti ini dan menawarkan penambah-baikan penggunaan Quick Share.

Samsung sejak bulan lalu telah menjadi pengeluar peranti terpantas mengedarkan kemaskini bersaing dengan Google Pixel. Secara tidak langsung menewaskan peranti OnePlus, yang sebelum ini terkenal dengan pengedaran kemaskini yang pantas.
Buat masa ini, hanya pengguna di Eropah sahaja menerima kemaskini ini. Memandangkan ia masih lagi Android 11, pengguna di Malaysia mungkin akan menerima kemaskini yang sama dalam masa terdekat. Peranti-peranti Samsung di Makmal Amanz sudah pun menerima kemaskini One UI 3.0 dan One UI 3.1 dengan tampalan sekuriti April 2021. Sama-sama kita nantikan.