Cari @ Amanz

Selepas setahun dilancarkan, aplikasi Selangkah sudah beberapa kali dikemaskini dengan penambah ciri selain menjadi pengimbas kod QR untuk pendaftaran pengesanan kontak di premis perniagaan. Hari ini Selangkah dikemaskini lagi dengan ciri Bubble yang akan memudahkan sekumpulan pengguna mendaftar di premis secara serentak.

Ciri Bubble membolehkan sebuah kumpulan individu dimasukkan ke dalam kumpulan mengikut kelas iaitu keluarga, kawan rapat dan teman sekerja. Apabila tiba ke premis yang memerlukan kod QR diimbas untuk pengesanan kontak, pengguna Selangkah hanya perlu memilih Bubble yang bersesuaian untuk mendaftarkan kesemua ahli di dalam kumpulan secara serentak.

Ini menyelesaikan isu ramai pengguna beratur di depan premis kerana imbasan perlu dilakukan secara satu persatu dengan peranti berbeza. Selain ciri Bubble, antaramuka aplikasi juga dikemaskini untuk kelihatan lebih ceria dan moden. Terdapat juga pautan ke WhatsApp untuk mendapatkan maklum balas pantas sekiranya memerlukan bantuan.

Selangkah kini ialah sebuah adiaplikasi yang juga menyokong ciri dompet digital, mendapatkan saringan ujian RTK, mendapatkan vaksin dari kerajaan negeri Selangor dan memaparkan kawasan tompok panas Covid di dalam aplikasi. Versi terkini Selangkah boleh dimuat turun hari ini untuk sistem operasi Android dan iOS.

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd