Google pada tahun lepas telah sedia mengumumkan yang mana mereka akan mula hentikan penawaran storan tanpa had secara percuma di Google Photos.
Untuk makluman, Google Photos sedia menawarkan storan tanpa had, untuk resolusi “berkualiti tinggi”, dan tidak mengira ia terhadap storan 15GB yang ditawarkan percuma di Google Photos. Namun, bermula 1 Jun 2021 ini, perkara berkenaan berubah, dan semua pengguna akan dihadkan kepada storan percuma 15GB di Google Photos.
Langkah perubahan ini adalah dalam usaha Google untuk meningkatkan pelanggan perkhidmatan Google One yang menawarkan storan tambahan pada harga langganan bulanan.
Apa pun, untuk pengguna sedia ada yang telah memuat-naik gambar dan video ke Google Photos, perubahan ini tidak akan memberikan impak terhadap kiraan storan 15GB percuma anda. Jadi, mungkin untuk bulan ini, anda masih boleh memuat-naik pelbagai gambar dan video anda untuk storan percuma. Google hanya akan mulakan kiraan untuk muat-naik bermula 1 Jun kelak.
Google menyasarkan storan 15GB percuma ini mampu membolehkan pengguna menyimpan dan memuat-naik gambar ke Google Photos untuk tempoh sehingga 3 tahun tanpa perlu membayar. Di Malaysia, pelan Google One ditawarkan pada harga bermula RM8.49 sebulan untuk storan 100GB.