Perniagaan telefon pintar HTC sekarang seperti hidup segan mati tak mahu dengan kerugian dicatatkan pada setiap suku sejak lima tahun lalu. Walaupun mereka pengeluar pertama menghasilkan peranti Android, nasib mereka sungguh malang kerana tidak mampu bersaing lagi. Tetapi di arena peranti realiti maya, HTC masih lagi jenama yang disegani.
Di acara Vivecon yang akan berlangsung pada 11-12 Mei hadapan, mereka dijangka akan melancarkan dua set kepala realiti maya Vive Focus 3 Business Edition dan Vive Pro 2. kedua-duanya dipercayai menyasarkan pengguna komersil untuk bekerja di dalam dunia maya. Walaupun spesifikasi masih belum diketahui, sebelum ini kedua-dua set realiti maya telah disenaraikan awal secara tidak sengaja di sebuah laman Alzashop pada harga bermula €842 (~RM4162) sebuah.
Peranti realiti maya kendiri Vive Air yang rekaannya tertiris beberapa minggu yang lalu nampaknya tidak akan dilancarkan dengan pihak HTC mengatakan ia sekadar sebuah konsep dan bukan pesaing kepada Oculus Quest.