Ura-ura mengenai Samsung Galaxy S21 FE sudah kedengaran sejak sekian lama. Seperti generasi sebelumnya, ia juga dijangka meminjam sejumlah spesifikasi utama daripada barisan Samsung Galaxy S21 sedia ada. Dalam perkembangan terkini, peranti pintar ini dilaporkan akan memasuki pengeluaran secara besar-besaran kira-kira dua bulan daripada sekarang – iaitu sekitar bulan Julai hadapan.
Perkhabaran ini dipetik daripada perkongsian hantaran oleh CEO Display Supply Chain Consultants, Ross Young menerusi laman Twitter rasminya. Rentetan daripada itu, ramai pihak menyasarkan ia berkemungkinan besar ia akan diperkenalkan sekitar bulan Ogos akan datang. Menurutnya lagi, Samsung Galaxy S21 FE juga akan didatangkan dalam empat pilihan warna iaitu Gray, Light Green, Light Violet dan White.

Dalam perkembangan berbeza, peranti pintar ini dikhabarkan telah tersenarai menerusi laman pensijilan di Korea – dengan sokongan bateri sebesar 4500mAh. Tidak lama kemudian, imej pengolokannya juga mula tersebar ke arena web – yang memperlihatkan rekaan fizikal seakan barisan Galaxy S21 dengan sejumlah perubahan kecil. Ia juga dipercayai hadir dengan skrin 6.4-inci bersama sokongan 120Hz, Android 11, dua variasi storan dalaman iaitu 128GB atau 256GB dan lain-lain.