Syarikat-syarikat pembuat peranti nampaknya bakal memperlihatkan sejumlah peranti tablet baru, dan Xiaomi adalah diantara mereka yang akan memperkenalkan sejumlah baru peranti tersebut tidak lama lagi.
Sebelum ini, Lei Jun, CEO Xiaomi telah mengatakan bahawa Xiaomi akan hadir dengan tiga tablet Mi Pad baru, dan terkini, butiran khusus mengenai tablet-tablet tersebut telahpun diketahui. Tablet-tablet ini diberikan kod nama Nabu, Enuma dan Elish, berdasarkan sejarah Babylon.
Butiran yang diketahui mengenai tablet-tablet ini termasuklah jenis cip pemprosesan yang digunakan dan jenis paparan yang akan digunakan. Tablet Nabu dikatakan akan menggunakan pilihan SoC SM8150, yang menunjukkan bahawa tablet tersebut mungkin akan menggunakan cip Qualcomm Snapdragon 855, 855+ ataupun 860.
Tablet-tablet Enuma dan Elish pula dilihat akan hadir dengan SoC SM8250, yang dilihat akan hadir dengan pilihan cip pemprosesan Snapdragon 865, Snapdragon 865+ dan juga Snapdragon 870, dimana kesemuanya boleh dikatakan cip pemprosesan untuk peranti-peranti kelas premium.
Dalam pada itu, kesemua tablet-tablet ini juga akan hadir dengan paparan beresolusi WQXGA dan juga kadar segar semula 120Hz yang boleh digunakan untuk penatalan menu peranti yang cukup lancar sekali.
Tablet Enuma dan Elish juga dikatakan adalah variasi peranti yang sama, dimana Enuma hadir dengan sokongan untuk rangkaian 4G dan LTE, manakala peranti Elish pula mempunyai sokongan WiFi sahaja.
Buat masa ini, ia masih tidak diketahui bilakah Xiaomi akan memperkenalkan tablet-tablet Mi Pad baru ini secara rasmi.