Pada tahun 2020, jualan komputer, komputer riba, tablet dan pelbagai peranti produktiviti mencatatkan peningkatan yang sangat mendadak.
Diantaranya ialah peranti Chromebook yang mencatatkan nilai jualan tertinggi pada tahun lepas, khususnya kerana komputer-komputer riba sentiasa kehabisan stok, walaupun untuk pasaran global. Terkini, syarikat penganalisa pasaran Canalys telah mengeluarkan laporan yang mengatakan bahawa jualan untuk peranti Chromebook telah mencatatkan peningkatan tahun-ke-tahun yang tertinggi, sebanyak 274 peratus pada suku pertama 2021.
Dengan syarikat-syarikat seperti Acer, HP dan Lenovo yang memperkenalkan peranti-peranti Chromebook mereka, peranti tersebut kini boleh dilihat sebagai peranti produktiviti arus perdana disamping komputer-komputer riba yang dikuasakan oleh sistem operasi Microsoft Windows dan juga Apple MacBook.
Dua jenama yang memperlihatkan jualan tertinggi pada suku tahun ini termasuklah Lenovo yang menjual 36.4 peratus dan HP yang menjual 25.9 peratus daripada jumlah jualan global peranti Chromebook tersebut. Jenama-jenama lain seperti Acer dan Dell juga adalah dua lagi jenama pembuat komputer yang telah menjual Chromebook dengan jumlah yang banyak.
Dalam pada itu, penjualan komputer riba dan tablet juga telah mencatatkan peningkatan, khususnya kerana wabak COVID-19 masih lagi membelenggu dunia, dan peranti-peranti produktiviti masih lagi diperlukan dengan banyak untuk tujuan pembelajaran dan juga pekerjaan dari rumah.