IBM Berjaya Menghasilkan Cip 2nm Pertama Di Dunia

Diterbitkan pada Mei 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

IBM hari ini mengatakan mereka telah berjaya dalam menghasilkan cip 2nm pertama di dunia. Perkembangan terbaru ini selari dengan teori Moore, sekaligus membolehkan lebih banyak transistor dimuatkan. Melalui rekaan binaan 2nm ini, ia membolehkan sekitar 50 bilion transistor dimuatkan pada keluasan 150 milimeter persegi – iaitu sebesar kuku jari manusia.

IBM mengatakan penggunaan rekaan 2nm ini membolehkan prestasi ditingkatkan kepada sehingga 45% pada kuasa dan penggunaan tenaga berbanding cip 7nm pada hari ini. Penggunaan 2nm juga akan membawakan lebih  penjimatan tenaga berbanding kepada cip 7nm sedia ada – sekaligus membolehkan sesuatu peranti bertahan untuk tempoh lebih lama pada tenaga bateri.

Melalui contoh yang diberikan oleh IBM sendiri, mereka mengatakan cip 2nm akan menawarkan tenaga bateri sekitar 4 kali ganda lebih lama pada peranti berasaskan cip 7nm seperti iPhone 11 dan Samsung Galaxy S10. Ini sekaligus memberikan gambaran yang mana pengguna hanya perlu mengecas peranti sekitar 4 hari sekali sahaja berbanding hari ini yang memerlukan pengecasan setiap hari.

Buat masa ini, pihak IBM tidak mengumumkan sebarang info berkaitan cip ujian 2nm mereka. Perkembangan terbaru ini lebih kepada memaparkan kebolehan penghasilan cip menggunakan rekaan binaan 2nm.

Rekaan cip ini dijangka akan  lebih memberikan kesan positif kepada arena teknologi melibatkan eksplorasi angkasa, pusat data, peranti berhubung, arena automotif, selain 5G dan juga 6G akan datang.

Seperti biasa, mungkin kita perlu nantikan masa beberapa tahun lagi sebelum dapat melihatnya diimplementasikan pada peranti pengguna seperti komputer riba mahupun telefon pintar.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami