Caprice Bakal Melancarkan Aplikasi JustSolat.com Tidak Lama Lagi

Diterbitkan pada Mei 6, 2021. Diubah suai kali terakhir pada . oleh .

Caprice atau nama sebenarnya, Ariz Ramli berkongsi perancangan untuk melancarkan aplikasi baharu yang dinamakan sebagai JustSolat.com tidak lama lagi. Ia merupakan sebuah lagi aplikasi berkonsepkan gaya hidup Muslim yang merangkumi aspek kerohanian dalam memudahkan amalan kehidupan seharian.

Memetik perkongsian di akaun Instagramnya baru-baru ini, Caprice dilihat berkongsi ciri-ciri yang bakal dibawakan oleh aplikasi berkenaan. Berdasarkan beberapa video pendek yang dipertontonkan, aplikasi JustSolat.Com akan menyertakan informasi waktu solat, petunjuk arah kiblat, panduan langkah solat (fardu atau sunat) dan pemberitahuan azan yang boleh disesuaikan audionya dan banyak lagi.

Lebih menariknya di sini, ciri untuk panduan langkah solat akan disertakan dengan susunan langkah-langkah mudah yang boleh diikuti – bermulah daripada niat sehinggalah selesai solat. Pada masa sama, ia turut disertakan dengan terjemahan beberapa bahasa – seperti bahasa Arab, Melayu dan juga Inggeris.

Buat masa ini, masih tiada tarikh khusus yang dikongsi untuk pelancarannya. Tetapi, Caprice menyatakan ia dijangka akan diperkenalkan sekitar selepas hari raya nanti. Turut difahamkan, aplikasi ini akan tersedia untuk peranti Android dan iOS.

Komen sekarang

komen

© Amanz / 2021 Kami