Apple sebelum ini telah mula menambah label privasi pada penyenaraian aplikasi di AppStore, sekaligus membolehkan pengguna mengetahui bagaimana sesuatu aplikasi akan menggunakan data mereka.
Kini, selain Apple, Google turut sedang melihat ke arena yang hampir lebih kurang sama.
Hari ini, Google telah mengumumkan mereka akan menambah sebuah bahagian khas pada penyenaraian Google Play bermula tahun hadapan, yang akan memerlukan pembangun berkongsi berkaitan data yang dikumpulkan mereka melalui aplikasi mereka.
Sebagai contoh, sekiranya pembangun mengumpulkan data seperti emel dan geolokasi, maka ia perlu dinyatakan – dan pengguna akan mengetahuinya sebelum memuat-turun atau mengemaskini aplikasi. Pembangun aplikasi berkenaan juga perlu berkongsi beberapa info berkaitan pengurusan data yang dikumpulkan – termasuk adakah akan memadam data apabila pengguna nyah-pasang aplikasi berkaitan, adakah data disulitkan, dan adakah ia mesra keluarga, serta lain-lain.
Secara kasar, ia berbeza sedikit dengan penawaran Apple yang lebih kepada memfokuskan privasi dan memaklumkan pengguna apakah data yang dijejak sesuatu aplikasi – sementara Google pula lebih kepada bagaimana data diuruskan dalam bentuk yang selamat dan terjamin oleh pembangun berkenaan.

Ciri ini dilihat akan memfokuskan kepada menambah keyakinan pengguna berkaitan sesuatu aplikasi dan bagaimana mereka menguruskan data – dan bukannya lebih kepada privasi seperti ditekankan Apple.
Google menyasarkan untuk memperkenalkan ciri ini pada PlayStore menjelang suku kedua 2022 kelak.