Pengesahan dwi-faktor merupakan salah satu ciri sekuriti yang ditawarkan oleh pelbagai penyedia dalam memastikan keselamatan pengguna. Ia beroperasi dengan anda perlu memasukkan kata laluan ketika log masuk ke sesuatu perkhidmatan, dan seterusnya perlu melakukan pengesahan kedua dengan menggunakan kod khusus yang boleh didapati melalui aplikasi atau SMS, atau beberapa kaedah lain.
Google sedia menawarkan ciri ini kepada semua pengguna mereka. Namun, ia tidak diaktifkan, dan pengguna diberikan pilihan untuk menggunakannya atau tidak. Apa pun, kini Google telah mengumumkan yang mana sekiranya seseorang pengguna telah menetapkan akaun Google dengan baik dan tepat, maka mereka akan diperlihatkan dengan notifikasi pengesahan sebelum log masuk.
Dengan pengumuman ini, apabila anda log masuk, anda akan dihantar dengan notifikasi pada telefon pintar, dan anda hanya perlu tap untuk mengesahkan aktiviti anda berkenaan.
Langkah ini sekaligus akan memastikan akaun pengguna lebih terjamin – terutamanya mereka yang kurang celik IT. Bagi anda sendiri, adakah anda telah mengaktifkan ciri pengesahan dwi-faktor untuk akaun anda?