Cari @ Amanz

Sepanjang pandemik banyak syarikat terpaksa membenarkan kakitangan bekerja dari rumah. Selepas setahun banyak data dikumpul mengenai kelebihan dan kekurangan bekerja dari rumah. Berdasarkan data-data ini Google telah menghasilkan ruang pejabat terkini mereka yang akan digunakan di ibu pejabat terkini mereka di Mountain View.

Rekaan ruang pejabat asal yang diperlihatkan oleh mereka enam tahun yang lalu telah diubah akibat pandemik tetapi masih berkonsepkan terbuka dengan pencahayaan semula jadi dari kanopi gergasi yang digunakan sebagai bumbung.

Untuk melakukan mesyuarat dengan jumpa peserta yang banyak, ruang terbuka Camp Charleston di luar berkonsepkan khemah akan digunakan. Penjarakan sosial dapat dilakukan dan ruang terbuka dengan pengudaraan yang baik mengurangkan risiko jangkitan seperti yang disarankan oleh WHO.

Ruang kedua pula ialah Campfire dengan peserta lebih kecil duduk di dalam konfigurasi bulatan dengan sebuah kamera diletakkan di tengah-tengah. Campfire membolehkan kakitangan di pejabat melakukan perbincangan dengan sehingga tiga rakan sekerja secara telesidang. Skrin besar membolehkan perbincangan dilakukan tanpa memerlukan komputer riba.

Konseo terakhir ialah Team Pods untuk pasukan berkolaborasi menggunakan sistem telesidang dan papan putih yang lebih konvensional. Ruang Team Pods ini boleh diubah mengikut keperluan kerja untuk menjadi lebih kondusif.

Selain itu Google akan membenarkan kakitangan bekerja tiga hari di pejabat dan dua hari di rumah seminggu. Mereka turut boleh mengambil sehingga empat minggu setahun untuk bekerja dari rumah dengan kebenaran pengurus.

Rekaan ruang pejabat syarikat teknologi Silicon Valley telah menjadi ikutan syarikat-syarikat lain di seluruh dunia. Mereka mempelopori rekaan yang lebih ceria dan santai. Adakah konsep rekaan Google pasca pandemik juga akan menjadi ikutan selepas ini?

© 2024 Amanz Media Sdn Bhd