Sebuah lagi peranti daripada Samsung di bawah siri Galaxy A kini menjadi bualan warganet selepas video promosinya tertiris menerusi ciapan di Twitter. Peranti dimaksudkan adalah Samsung Galaxy A82 5G yang akan menjadi kesinambungan kepada Samsung Galaxy A80 sebelum ini.
Video pendek berdurasi 1 minit berkenaan seakan memberi bayangan bahawa peranti pintar ini bakal menekankan kepada aspek jangka hayat bateri, pengecasan pantas dan juga sokongan kamera. Ia bagaimanapun, tidak mendedahkan sebarang maklumat berkaitan spesifikasi mahupun rekaan pada peranti secara khusus.
Tinjauan menerusi ruangan komen ciapan berkenaan, terdapat salah seorang pengguna Twitter berkongsi video promosi yang sama. Tetapi, ia merupakan video untuk Samsung Galaxy Quantum2 yang dilancarkan baru-baru ini. Ia bagaimanapun, bukan satu hal yang mengejutkan. Sebabnya, terdapat desas desus didengari Samsung Galaxy Quantum2 turut dipercayai akan dikenali sebagai Samsung Galaxy A82 kelak.
Jika ianya benar, peranti ini akan dilengkapi skrin 6.7″ Dynamic AMOLED 2X QHD+ 120Hz, cip Snapdragon 855+, memori 6GB RAM, storan dalaman 128GB dan bateri 4500 mAh yang menyokong pengecasan 25W. Kamera utama pula menggabungkan sensor 64+12+5MP, manakala kamera hadapan pula sebesar 10MP.