Sejak September tahun lepas, Pete Lau iaitu CEO OnePlus telah terlibat dengan pengurusan produk Oppo dan Realme. Sebulan selepas berita ini dilaporkan, Carl Pei mengesahkan akan meninggalkan OnePlus. Sejak pada itu, jenama OnePlus yang kita kenal dahulu telah berubah menjadi semakin mirip dengan jenama di China.
Terkini melalui forum OnePlus, mereka mengumumkan yang gedung tema akan diperkenalkan dalam kemaskini sistem akan datang. Gedung tema ini adalah “kedai” di mana pengguna boleh memuat turun tema untuk kustomasi peranti secara menyeluruh. Ia mampu mengubah tema peranti seperti muka taip, ikon, warna, bentuk, animasi, Always-On Display dan pelbagai lagi.
Gedung tema ini sedia terkenal pada peranti Samsung, Xiaomi, Oppo, dan banyak lagi peranti daripada China lain. Masih tidak pasti juga, bilakah kemaskini sistem baharu ini akan diedarkan – sama ada Android 11 atau untuk Android 12 kelak. Juga tidak pasti adalah, penawaran muat turun. Pada Samsung ada percuma dan ada yang berbayar. Dengan Android 12 kelak, Google juga telah hadir dengan sistem tema lebih menyeluruh seperti mengubah warna – jadi mungkin ini iterasi OnePlus?
Maklumat lanjut akan didedahkan pada 18 Mei kelak. Sama-sama kita nantikan.